PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada tindakan lanjut akan dikenakan ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diambil keterangan berhubung kebocoran maklumat dokumen rasmi kerajaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya mahu mendapatkan keterangan daripada beberapa pegawai terbabit mengenai kebocoran maklumat di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, proses mengambil keterangan itu adalah sebahagian daripada prosedur PDRM untuk mendapatkan maklumat dan tidak tertumpu kepada SPRM sahaja, sebaliknya turut melibatkan beberapa agensi lain.
“Jika ada penahanan pada masa akan datang tentunya melibatkan prosedur siasatan yang dilakukan oleh pihak polis. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara adalah cukup jelas bahawa tujuan siasatan itu semata-mata untuk mencari punca dan sumber kebocoran itu berlaku.
“Hubungan baik antara PDRM dengan SPRM harus dikekalkan supaya kerjasama antara agensi-agensi penguatkuasaan ini dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan dan kredibiliti semua agensi kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, siasatan yang dilaksanakan oleh PDRM ke atas pegawai SPRM hanya berkaitan dokumen rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan dan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk menggugat kestabilan negara.
Ditanya adakah dokumen atau kertas draf pertuduhan siasatan ke atas SRC International Sdn. Bhd yang disebarkan di media sosial itu hanya rekaan atau merupakan dokumen yang disiasat SPRM, Ahmad Zahid berkata: ''Itu yang kita sedang lakukan siasatan.''
Menurutnya, kebocoran maklumat yang sedang dalam siasatan itu tidak seharusnya berlaku kerana tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Tentu kita mengesyaki ada agenda tersembunyi kenapa kebocoran itu dilakukan. Saya tidak fikir mana-mana negara di dunia mengizinkan kebocoran berlaku,” katanya.
Ditanya berhubung tindakan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin yang bersumpah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu, beliau berkata, itu bukan kenyataan rasmi daripada SPRM.
“Saya fikir itu bukan satu kenyataan rasmi tetapi individu berkenaan memperlihatkan rasa kekecewaan daripada apa yang berlaku. Tetapi saya tahu usaha yang dilakukan oleh beliau itu adalah semata-mata untuk mencari jalan agar tidak timbul permasalahan antara agensi-agensi penguatkuasaan,” katanya.
- Utusan Online
Post a Comment