Penambahan kerusi DUN untuk dengar suara rakyat: KM


SIMUNJAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam selepas sebulat suara membenarkan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membatalkan notis itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri itu berkata, jika tiada lagi halangan, Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) akan menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

“Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bersetuju untuk kita tambahkan lagi kerusi DUN termasuk satu kerusi di kawasan ini.

“Insya-Allah kalau tiada halangan lagi, bilangan kerusi akan bertambah daripada 71 ke 82 kerusi DUN pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri P.200 Batang Sadong di Dewan Masyarakat Simunjan di sini semalam.

“Kita mahu menambah lebih banyak kerusi DUN supaya lebih banyak suara dapat didengar walaupun keputusan itu tidak dipersetujui pembangkang,” kata Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau menjelaskan kebanyakan kerusi baharu itu melibatkan kawasan luar bandar agar lebih suara rakyat disuarakan bagi memastikan hasrat kerajaan negeri untuk memajukan kawasan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita tambah kerusi khususnya di kawasan luar bandar sebab kita mahu lebih wakil rakyat dari kawasan luar bandar supaya suara rakyat luar bandar dapat disuarakan (dengan lebih lantang),” tambahnya.

Kerusi itu membabitkan DUN Batu Kitang yang dimasukkan dalam Parlimen Stampin, Stakan (Kota Samarahan), Serumbu, Puncak Borneo (sebelum ini dikenali sebagai Mambong), Triboh (Serian), Gedong (Batang Sadong), Kabong (Saratok), Tellian (Mukah), Selirik (Kapit), Murum (Hulu Rajang), Samalaju (Bintulu) dan Long Lama (Baram).

Semalam, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan keputusan itu, memutuskan notis berkenaan mematuhi Seksyen 4 (a) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, SPR telah memberikan butiran yang dikehendaki dalam notis dan suruhanjaya itu tidak terikat untuk mendedahkan butiran lanjut seperti apa yang telah didedahkan.

Beliau berkata adalah fakta yang salah bagi Mahkamah Tinggi untuk mengatakan butiran lanjut mengenai cadangan itu tidak didedahkan oleh SPR.

Dalam persempadanan semula itu, SPR memohon untuk mewujudkan 11 kawasan pilihan raya baharu, meningkat daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 82.

Pada 15 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuching mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu mempunyai butiran yang terhad, dan mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tersebut.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie mengeluarkan arahan tambahan mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangannya bagi persempadanan semula adalah batal dan tak sah selepas memutuskan notis itu tidak mematuhi Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget