1,122,093 hektar tanah NCR di seluruh negeri berjaya diukur: Awg Tengah


SARIKEI: Sehingga penghujung bulan Julai tahun ini, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah mencatat sejumlah 1,122,093 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diluluskan di bawah Program Pengukuran Perimeter NCR Inisiatif Baharu.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah terbabit telah membabitkan sejumlah 686 kawasan di seluruh negeri ini.
“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 632,612 hektar yang membabitkan 428 kawasan telah siap diukur, manakala sejumlah 396,073 hektar daripada 282 kawasan telah diwartakan.
“Dalam melaksana program ini, khususnya bagi memastikan sistem rekod pemilikan hak tanah NCR masyarakat di negeri ini lebih sistematik, kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM81 juta untuk menampung kos kerja-kerja penyukatan ini.
“Dengan perwartaan ini, pemilik tanah tidak perlu risau mengenai isu pencerobohan tanah. Warta ini cukup untuk membuktikan pemilikan tanah tersebut dan sempadan kawasan tanah telah menjadi milik masyarakat Bumiputera di negeri ini,” kata Awang Tengah.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sarikei dan Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan Ulu Sarikei dan kawasan Pakan, di Dewan Suarah Sarikei, semalam.
Mengulas mengenai dasar ini, Awang Tengah berkata pengeluaran warta ini jelas membuktikan bahawa dasar kerajaan untuk sentiasa mengiktiraf tanah NCR milik rakyat di negeri ini sahaja.
Katanya melalui dokumen warta pemilikan dan persempadanan yang jelas ini, tiada siapa yang boleh mempertikai pemilikan tanah mereka.
Menurut Awang Tengah, untuk bahagian Sarikei sahaja sejumlah 141,643 hektar tanah dari 25 kawasan telah diluluskan untuk disukat hingga Julai tahun ini.
“Daripada jumlah ini, 121,910 hektar dari 21 kawasan telah siap diukur manakala 17 kawasan yang merangkumi 84,403 hektar telah diwartakan.
“Sebanyak 11 kawasan di Sarikei yang merangkumi 38,378 hektar telah diserahkan kepada komuniti,” jelasnya.
Menurut Awang Tengah, kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Adenan akan meneruskan agenda dan tumpuan pembangunan yang serius di kawasan luar bandar dalam pelan pentadbiran masa depan negeri ini.
Sehubungan itu katanya, perjuangan pentabdiran kerajaan Sarawak kini lebih menjurus untuk memperjuangkan hak kepada semua pihak, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.
“Fokus perjuangan untuk merapatkan jurang pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar adalah misi utama Ketua Menteri untuk membela nasib rakyat negeri ini agar mereka tidak ketinggalan daripada segala aspek pembangunan, seperti masyarakat di kawasan bandar yang telah menikmati serba lengkap pembangunan daripada segala aspek.
“Dalam usaha untuk merealisasi impian dan matlamat ini, sokongan semua pihak amat diperlukan. Kita tidak mahu rakyat berpecah belah oleh sebab perkara yang remeh temeh.
“Oleh yang demikian, Ketua Menteri Sarawak telah berusaha sehabis-habisan untuk menghalang pihak yang terlalu ekstrem dengan politik dan agama untuk menyebarkan fahaman mereka masuk ke negeri ini,” jelas Awang Tengah.
Pada majlis yang sama, Awang Tengah turut menyeru masyarakat agar bertindak dengan lebih pantas untuk merebut segala bentuk peluang yang ada melalui pelan pembangunan yang dipergiatkan oleh kerajaan khususnya melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada masa kini.
“Baru-baru ini, sejumlah RM30 bilion telah dilaburkan oleh syarikat asing untuk aktiviti SCORE. Situasi ini menggambarkan peluang yang amat besar untuk masyarakat kita manfaatkan terutama untuk meningkatkan pendapatan serta taraf sosioekonomi.
“Pada masa yang sama juga, pada bulan lepas pihak Korea Selatan telah berminat untuk melabur sebanyak RM3.8 bilion untuk fasa pertama di kawasan SCORE negeri ini.
“Kita berharap masyarakat kita dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjalankan aktiviti perniagaan, mendapatkan pekerjaan yang sempurna dan meningkatkan kualiti hidup,” kata Awang Tengah lagi.
Sekitar 1,000 orang masyarakat telah hadir pada majlis berkenaan. Turut hadir Menteri Muda di Pejabat Ketua menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, wakil Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Ibrahim Lumpu, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot serta ketua masyarakat setempat.- Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget