Pengundi Baram perlu buat pilihan bijak: Dennis


BARAM: Penduduk Baram harus membuat pilihan bijak bagi menentukan masa depan kawasan Baram sama ada untuk mempunyai perubahan positif atau statik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, semuanya 100 peratus terletak di tangan para penduduknya.
“Kita buat pilihan setiap hari dan tidak dapat elak itu, tetapi semuanya memberikan kesan berlainan,” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Hari Wanita Baram Tengah yang diadakan di Sidang Injil Borneo (BEM) Long Keseh baru-baru ini.
Menurutnya, pandangan untuk menentukan masa depan Baram secara keseluruhannya ada dalam diri mereka sendiri dan pilihan harus ditentukan dengan kriteria dimahukan.
“Adakah kita berfikiran realistik untuk menentukan masa depan keluarga, anakanak dan perubahan Baram secara keseluruhannya?” katanya.
Pilihan ketika ini jika dapat diringkaskan kata Dennis, adalah sama ada mahu melihat Baram berubah secara positif atau tiada sebarang perubahan untuk 50 tahun akan datang.
Dengan kepimpinan di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menerajui Sarawak ketika ini, Dennis yakin perancangannya membangunkan kawasan luar bandar dan Baram secara khususnya.
Dalam sumbangan wanita, Dennis memberitahu bahawa mereka patut memainkan peranan penting dalam aspek dimaksudkan.
“Jangan pandang kecil atau ringan peranan seorang wanita kerana ia turut terletak di atas tangan kamu,” katanya.
Mengenai sambutan, seramai 300 wanita menyertai sambutan dimaksudkan terdiri daripada 13 rumah panjang di kawasan Baram Tengah.
Dennis turut menggesa wanita untuk terus aktif dalam aktiviti berpesatuan dan menyumbang apa-apa sahaja mengikut kemampuan diri.
Pelbagai aktiviti dijalankan dalam sambutan selama tiga hari berkenaan termasuk acara utama iaitu pertandingan koir yang dimenangi oleh wanita BEM Long Lama.
Pada majlis sama, Dennis menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada penganjuran sambutan dimaksudkan.
Turut hadir adalah pemimpin Gereja SIB Miri Kaunselor Charles Balan Seling, Ketua Kampung Luhat Jok, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Telang Usan Dominic Nyurang dan penceramah undangan Pastor Robin Ato-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget