Penghormatan kepada Kuching dan Sarawak: Adenan


Pengisytiharan sebagai Bandar Raya Perpaduan perlu penuhi 12 syarat Yayasan 1Malaysia

KUCHING: Pengisytiharan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan merupakan satu penghormatan kepada bandar raya ini khasnya dan Sarawak amnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pengisytiharan oleh Yayasan 1Malaysia itu bukan satu perkara yang mudah kerana perlu memenuhi 12 syarat yang ditetapkan oleh mereka.

“Hari ini dalam sejarah bagi Kuching, bukan sahaja sebagai Hari Bandar Raya Kuching tetapi sebagai Bandar Raya Perpaduan dan ia merupakan tarikan kita kepada pelancong serta pelabur asing yang datang.

“Namun pada masa yang sama saya berharap kita mewujudkan bandar raya yang ‘hidup’, ini bukan sahaja kepada pelancong atau pelabur asing tetapi untuk masyarakat kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Bandar Raya Kuching Ke-27 yang dihadiri Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan di Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh serta menteri kabinet lain.

Jelasnya pengisytiharan itu juga wajar kerana Kuching kini bukan sahaja dilihat sebagai antara bandar raya tercantik, terbersih dan ‘hidup’ (vibrant) di Malaysia tetapi dari segi keharmonian penduduknya.

Sehubungan itu, Adenan berkata semua rakyat Sarawak, khasnya warga bandar raya Kuching diminta untuk terus mengekalkan nilai-nilai perpaduan di kalangan pelbagai kaum sekali gus terus menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia bahawa rakyatnya dapat hidup aman harmoni di bawah satu bumbung.

Berbeza dengan di Semenanjung Malaysia katanya, yang lebih kepada sentimen iaitu pertelingkahan sesama sendiri.

“Meskipun di sana berlaku masalah dalam masyarakat, budaya, agama serta bangsa, marilah kita di Kuching khasnya dan Sarawak amnya menunjukkan perpaduan kita kepada mereka.

“Kita terus menjadi contoh dalam Malaysia bahawa kita percaya kepada perpaduan dan kepelbagaian, walaupun kita pelbagai dari segi budaya, agama dan bangsa tetapi kita hidup aman dan harmoni. Kita akan kekalkan semua ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, Kuching kini banyak berubah dari sebuah bandar ‘sunyi’ kepada bandar raya yang ‘hidup’, yang merupakan hasil usaha daripada wali kota atau datuk bandar dari dulu hingga kini.

Memandangkan perkhidmatan yang baik itu dikekalkan sehingga hari ini oleh dua datuk bandar iaitu DBKU dan MBKS, maka Adenan turut mengumumkan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kedua-dua datuk bandar berkenaan.

“Kita mahu walaupun negeri kita sudah berada dalam keadaan bagus tetapi kita masih mahu yang terbaik daripada itu dan disebabkan kedua-dua datuk bandar ini bekerja dengan baik saya melanjutkan penggal perkhidmatan mereka berdua (Abang Abdul Wahap dan James Chan),” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget