SAINT-ANDRE, Perancis - Serpihan bangkai pesawat yang ditemui di sebuah pulau kecil di Lautan Hindi, kelmarin akan dianalisis di sebuah makmal di negara ini pada Rabu ini untuk menentukan sama ada komponen berkenaan merupakan sebahagian daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak tahun lepas.
Serpihan sayap tersebut tiba di Lapangan Terbang Orly, Paris sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) dengan menggunakan pesawat komersial Air France selepas dibawa dari pulau La Reunion, malam semalam, selepas pihak berkuasa Malaysia menyatakan, komponen berkenaan berkemungkinan besar sebahagian daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak tahun lepas.
Sayap itu akan dibawa ke Makmal Kementerian Pertahanan Perancis di barat daya Toulouse untuk dianalisis.
Jika disahkan milik pesawat MH370, komponen berkenaan akan menjadi bahan bukti pertama sejak kehilangan pesawat tersebut kira-kira 16 bulan lalu.
Pegawai Perancis berkata, analisis akan mula dijalankan Rabu ini, bersama-sama dengan ujian ke atas beg yang ditemui berhampiran lokasi penemuan sayap berkenaan.
Boeing dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pihaknya akan menghantar pasukan teknikal ke Perancis untuk mengkaji serpihan tersebut seperti yang diminta oleh pihak berkuasa penerbangan awam.
“Objektif kami bersama-sama dengan pemain industri penerbangan dunia bukan sahaja untuk mencari pesawat tersebut tetapi juga mahu mengetahui apa yang berlaku ke atasnya dan kenapa,” jelas Boeing dalam kenyataan itu.
Pesawat MH370 hilang dari kawalan radar pada 8 Mac tahun lalu, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal.
Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (Amerika) akan mengambil bahagian dalam analisis dan siasatan ke atas serpihan.
NTSB merupakan agensi bebas Persekutuan di bawah Kongres yang bertanggungjawab menyiasat setiap kemalangan udara penerbangan awam di Amerika serta kemalangan besar membabitkan sistem pengangkutan lain seperti landasan kereta api, lebuh raya, marin dan saluran paip.
Ia juga merupakan satu daripada tujuh perwakilan bertauliah pertubuhan siasatan insiden dan kemalangan udara antarabangsa yang terlibat dalam pasukan siasatan antarabangsa yang ditubuhkan oleh Malaysia bagi mengenal pasti kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
Satu sumber yang rapat dengan penyiasatan di Perancis memberitahu CNN bahawa laporan awal dijangka siap seawal minggu depan.
“Laporan itu tidak akan mendedahkan ‘kejadian sebenar’ tetapi akan memberikan jawapan kepada beberapa senario,” lapor CNN yang memetik sumber itu.
– Utusan Online
Post a Comment