SHAH ALAM : Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk keras tangkapan terhadap aktivis dan orang awam yang menyertai perhimpunan aman Demi Malaysia di perkarangan Sogo tengah hari tadi.
BERSIH 2.0 dalam kenyatan media menyatakan tangkapan dan kekerasan dikenakan oleh polis terhadap para aktivis dan orang awam sebagai suatu penegasan tidak wujud sebarang hak demokratik untuk membantah dan mempersoal tindakan kerajaan.
"Digesa semua tahanan, termasuk aktivis dan pakar rujuk BERSIH 2.0 Hishamuddin Rais, Ahli Dewan Undangan Negeri Teja Chang Lih Kang dan Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing dan Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa dibebaskan segera.
"Penangkapan dilakukan ke atas 28 aktivis, wakil rakyat dan individu di perhimpunan #TangkapNajib tengah hari ini adalah penafian ke atas hak berhimpun dan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan," kata NGO itu.
BERSIH 2.0 turut mengutuk keras tahanan reman yang dikenakan ke atas pengurus sekretariat BERSIH 2.0 Mandeepkarpall Singh yang direman empat hari, manakala aktivis Adam Adli dan Ahmad Syukri Razab kedua-duanya direman enam hari.
BERSIH 2.0 menegaskan bahawa tindakan ganas pihak polis ke atas para aktivis dan orang awam hari ini tidak melemahkan semangat rakyat Malaysia untuk sama-sama turun menyertai perhimpunan Bersih 4 yang bakal berlangsung 29-30 Ogos nanti.
Sikap yang diperlihatkan kerajaan memperkuatkan persepsi orang ramai bahawa ia sedang terdesak untuk menutup mulut mereka yang berani berkata benar ke atas pembohongan-pembohongan dilakukan, terutamanya melibatkan skandal 1MDB dan akaun peribadi Perdana Menteri.
BERSIH 2.0 mengajak seluruh rakyat menilai sendiri tindak-tanduk kerajaan dalam membisukan mereka yang berani bersuara dan melawan.
"Seterusnya hadir ke perhimpunan Bersih 4, tanpa rasa ragu dan resah untuk menyatakan pendapat dan bantahan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri," katanya.
- Selangor Kini
Post a Comment