Kukuh pertahanan berdepan 'Anonymous'



Semua organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) digesa agar memperkukuh sistem pertahanan siber komputer masing-masing menggunakan perisian terkini dan 'patch' keselamatan bagi melindungi daripada digodam oleh penjenayah siber.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata tindakan itu merupakan langkah untuk menaik taraf sistem komputer di setiap organisasi daripada serangan siber oleh sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai 'Anonymous'.

"Sebagai kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber negara selamat dan terhindar daripada pelbagai ancaman atau serangan siber, MOSTI melalui CyberSecurity Malaysia dan MIMOS Berhad (MIMOS) terus berusaha dan secara proaktif dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan siber," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam konteks siber, CyberSecurity Malaysia memberi perkhidmatan teknikal kepada 10 sektor CNII yang terdiri daripada sektor pertahanan dan keselamatan; perbankan dan kewangan; maklumat dan komunikasi; tenaga, air, pengangkutan, kesihatan, makanan dan pertanian serta perkhidmatan kerajaan dan perkhidmatan kecemasan sebagaimana termaktub dalam Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP).

"MIMOS sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan ICT negara turut membangunkan teknologi keselamatan lebih maju dalam usaha melindungi infrastruktur IT di dalam sesebuah organisasi daripada serangan dalaman dan luaran serta bertujuan menjejak pergerakan dokumen atau maklumat yang dibocorkan," katanya.

Madius turut menekankan kepada pentadbir rangkaian komputer agar mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam mengendali sesebuah insiden ancaman siber yang dihadapi oleh organisasi mereka.

"Kepakaran boleh diperoleh melalui program-program latihan kepakaran yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia seperti latihan kepakaran dalam bidang forensik digital dan latihan kepakaran tindak balas keselamatan siber," katanya.

Orang ramai juga diminta untuk melaporkan insiden serangan siber kepada pihak berkuasa berkaitan atau Pusat Bantuan Cyber999 menerusi alamat email: cyber999@cybersecurity.my.

- Bernama
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget