KEADILAN desak Anwar diberi rawatan konsisten


PETALING JAYA, 19 OGOS- Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengalami kesakitan berterusan di bahu kanannya dan memerlukan rawatan segera secara konsisten.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berkata, sesi fisioterapi yang disyorkan pihak Hospital Kuala Lumpur bagi merawat kecederaan akibat kemalangan yang dialami Anwar pada Mei lalu tidak dipenuhi oleh pihak penjara.
Ia katanya mengakibatkan proses pemulihan fizikal bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhalang.

“Kecederaan ini sudah bertambah buruk, ia menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada Datuk Seri Anwar Seharian,” Kata Nurul Izzah dalam sidang media di sini.

Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan kecil di Desa Sri Hartamas pada 13 Mei lalu dan mengalami keretakan di pangkal tangan kanan berdekatan bahu.

“Kecederaan serius itu telah pun diketahui oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Pihak Hospital.

“Kami telah memohon dan merayu untuk rawatan dan penyelesaian masalah tersebut secara berterusan melalui peguam, namun sehingga kini ia tidak diendahkan pihak berkuasa,” tambah Nurul Izzah.

Turut hadir sidang media itu, Nurul Nuha Anwar, Ketua Whip Parlimen KEADILAN, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani

Sementara itu Johari berkata, KEADILAN kesal kerana Anwar dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan oleh kerajaan.

“Kami bersama keluarga Datuk Seri Anwar dan pemimpin KEADILAN membantah keras penafian rawatan oleh kerajaan kepada beliau,” tegas Johari.

Mereka turut menuntut supaya Anwar dimasukkan ke Wad perubatan dengan serta merta selain rawatan fisioterapi yang disyorkan pihak hospital sebelum ini dilakukan ke atas Anwar seberapa kerap yang perlu.

“Menteri Dalam Negeri, Pengarah Jabatan Penjara dan Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keperluan perubatan Datuk Seri Anwar dan sebarang akibat yang mungkin berlaku jika permintaan kami tidak diendahkan,” tegas Johari.
-Keadilan Daily
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget