Cegah jenayah siber – Mohd. Salleh
KUALA LUMPUR - Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dikaji semula agar peruntukan yang terkandung di dalamnya bersesuaian dengan situasi semasa berhubung jenayah siber.
Mohd Salleh Said Keruak |
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, segelintir rakyat di negara ini menganggap internet dan media sosial sebagai satu domain tanpa undang-undang iaitu segala-galanya bebas untuk dilakukan kerana tiada pe- raturan yang mesti dipatuhi.
Menurut beliau, apa yang membimbangkan, penggunaan internet telah menarik pelbagai perbuatan jenayah seperti penyelewengan, mencuri maklumat dan identiti serta mengada-adakan berita dan dokumen palsu.
“Di kebanyakan negara, perbuatan ini dianggap sebagai jenayah serius yang boleh menyebabkan pelakunya dipenjarakan untuk tempoh yang panjang.
“Walaupun Malaysia akan tetap mempertahankan prinsip kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat, kita juga mesti melindungi rakyat daripada fitnah serta pembunuhan watak,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman blog beliau (http://sskeruak.blogspot.com) hari ini.
Mohd. Salleh menegaskan, tiada sebuah negara pun yang mentafsir kebebasan bersuara sebagai kebebasan untuk berbohong dan memfitnah.
Beliau memberitahu, keselamatan negara dan ketenteraman awam boleh terjejas sekiranya tiada kaedah yang berkesan untuk mengawal kelakuan serta percakapan orang ramai.
“Kita mesti mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 supaya tindakan kita tidak menjejaskan hak kebebasan bersuara dan mendapatkan maklumat namun pada masa sama, berupaya melindungi rakyat daripada kelakuan-kelakuan jenayah yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini,” jelasnya.
Mohd. Salleh turut memberi jaminan kerajaan akan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak bagi memastikan pendekatan yang bakal diambil bersifat menyeluruh.
- Utusan Online
Post a Comment