PETALING JAYA: Pembangkang menentang cadangan supaya sumber dana setiap parti politik diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, DAP antara parti paling awal membantah cadangan itu dengan alasan ia parti sara diri dan bimbang peraturan baharu itu bakal merugikan parti terbabit.
Katanya, dalam mesyuarat Transparency International – Malaysia (TI-M) bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada 1 Disember 2010, minit mesyuarat melaporkan Tian Chua berkata ‘beliau bimbang pengisytiharan penuh akan menjejaskan penyumbang dan seterusnya menjejaskan pembiayaan bagi parti pembangkang, kebimbangan bahawa penyumbang mungkin didakwa oleh parti yang menang kerana menyokong pakatan pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum. Ini dengan sendirinya akan menyebabkan pengurangan sumber kewangan bagi pakatan pembangkang’.
Rahman berkata, Ahli Parlimen DAP dari Rasah, Anthony Loke turut menyuarakan perkara sama menerusi Forum Majlis Peguam mengenai pembiayaan politik pada 29 September 2011.
Ini berbeza apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong cadangan SPRM itu dan mahukan ia dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP), kata Rahman.
“Oleh itu, saya dapati agak menghairankan kebelakangan ini apabila pemimpin DAP seperti Tony Pua dan Lim Kit Siang kelihatan hipokrit dalam mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi BN dan UMNO, sedangkan mereka dengan keras menentang inisiatif perubahan pembiayaan politik sejak awal,” katanya.
Katanya, kemampuan DAP memiliki ibu pejabat parti bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri serta kemampuan pembangkang mengeluarkan bajet yang besar pada pilihan raya kecil menunjukkan pembangkang menerima sumbangan politik yang besar.
“Tanpa pembiayaan politik yang banyak, parti pembangkang tidak mungkin dapat menggerakkan jentera pilihan raya secara besar-besaran,” katanya.
Rahman berkata, BN juga tidak terlepas daripada amalan itu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya pada 13 Jun 2008, beliau mengaku menyerahkan lebih RM1.4 bilion – dalam bentuk tunai dan aset – kepada Presiden UMNO yang baharu ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003.
“Itu adalah nilai tunai dan aset UMNO pada waktu itu. Melangkah 12 tahun ke hadapan ke hari ini, dengan mengambil kira inflasi sepanjang beberapa tahun dan cabaran lebih hebat dalam membiayai jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri UMNO dan BN di empat negeri (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan) sejak 2008, saya tidak akan terkejut jika pucuk pimpinan perlu bersikap lebih proaktif dalam mendapatkan pembiayaan daripada penyokong serta penyumbang,” katanya.
Beliau berkata, wujud keperluan lebih mendesak untuk mengawasi pembiayaan politik dan hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh pembangkang terutama DAP.
Bagaimanapun, katanya, sementara cadangan mengisytiharkan sumber dana politik kepada SPRM menjadi kenyataan dalam pakatan pembangkang, tiada pihak yang berhak mendabik dada dan mendakwa dirinya lebih baik berbanding yang lain.
- Free Malaysia Today
Post a Comment