KUALA LUMPUR - Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) menegaskan, ahli-ahlinya yang me-rangkumi 74 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya kecewa dengan dakwaan blog tertentu yang mengeluarkan senarai 20 ahli Parlimen BN dikatakan bersama-sama pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen.
Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu berkenaan memandangkan tindakan itu mencabar institusi Parlimen.
“Kita kena tegas dengan media sosial kerana mereka banyak mengeluarkan berita yang tidak betul... Tidak bertanggungjawab langsung.
“Ini adalah dakyah. Saya tahu sikap dan pendirian ahli-ahli saya. Sebagai Ahli Parlimen BN, dari semasa ke semasa, ada kita tidak setuju dengan pemerintah tetapi kita berikan kritikan melalui saluran yang betul,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Seramai 34 ahli-ahli BNBBC hadir dalam sidang akhbar tersebut sebagai simbolik bagi menafikan dakwaan blog terbabit.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen akuan bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen BN.
Berikutan dakwaan itu, semalam tersebar di media-media sosial senarai 20 Ahli Parlimen BN yang dikatakan bersama-sama pembangkang untuk mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen.
Shahrir semalam tampil menafikan dakwaan media-media sosial terbabit.
Dalam pada itu, Shahrir menolak kemungkinan bahawa berita palsu tersebut disebarkan dengan matlamat untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu semasa yang lain.
Katanya, beliau akan berjumpa dengan Ahmad Zahid melalui satu program permukiman pada minggu depan bagi membincangkan berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri berkenaan.
Ditanya berhubung tindakan Ahmad Zahid mengaitkan dalang komplot berkenaan dengan tokoh dalam UMNO, Shahrir memberitahu, BNBBC akan adakan pertemuan tersebut.
“Buat masa ini, kita tunggu dahulu,’’ jelasnya.
- Utusan Online
Post a Comment