Tiga syarat ketat ambil pekerja asing



PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah menggariskan tiga syarat yang lebih ketat dalam pengambilan pekerja asing ke negara ini bagi memastikan kehadiran mereka tidak mengancam kestabilan negara.

Beliau berkata, keputusan tersebut yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) memutuskan setiap majikan mengamalkan prinsip ‘strict liability' atau syarat ketat dalam penggajian pekerja asing ke Malaysia.

Menurut beliau, menerusi lang­kah tersebut majikan perlu bertang­gungjawab terhadap pekerja mereka bermula daripada proses pengambilan sehingga penghantaran semula ke negara asal dan jika gagal mematuhi syarat tersebut boleh dikenakan denda atau hukuman mengikut kesalahan.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga bersetuju supaya setiap majikan diwajibkan menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing yang digajikan berdasarkan standard minimum penginapan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pada masa sama, kerajaan juga memutuskan untuk menambah baik pengambilan pekerja asing dengan memperkenalkan sistem pengurusan pekerja asing secara dalam talian yang mana tidak lagi perlu melalui ejen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempenge­rusikan mesyuarat JKKPA-PATI di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim.

Menyentuh lanjut mengenai sistem pengambilan pekerja asing dalam talian, katanya, kaedah tersebut yang menggunakan sistem perisian single window dengan menggabungkan aplikasi sedia ada dan baharu akan dibuat secepat mungkin selepas perbincangan lanjut diadakan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, menerusi kaedah tersebut, majikan yang berhasrat meng­ambil pekerja asing hanya perlu me­nunggu dalam tempoh 48 jam bagi mendapat kelulusan berbanding kaedah konvesional melalui ejen yang mengambil masa antara ti­ga hingga enam bulan.

Ditanya sama ada sistem peng­ambilan pekerja asing itu turut terpakai kepada pembantu rumah, beliau berkata, pengambilan tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dan ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia untuk menentukannya.

Sementara itu, Richard Riot ketika ditanya perkara sama berkata, mesyuarat tersebut tidak menyentuh mengenai pengambilan pekerja asing yang melibatkan sektor tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak­nya akur dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat JKKPA-PATI itu.

“Dengan menerima pakai cadangan yang dibentangkan dan dipersetujui oleh jawatankuasa terbabit maka secara tidak langsung peranan yang dimainkan ejen berdaftar melalui Kementerian Sumber Manusia tidak wujud lagi” katanya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget