MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram semalam menerima baik kesediaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mendengar masalah kedua-dua pihak yang pro dan kontra terhadap cadangan projek Empangan Baram.
Pengerusi PKR Baram Roland Engan berkata, kesediaan itu dialu-alukan tetapi mahu Ketua Menteri membatalkan terdahulu notis pengambilan tanah dan penghapusan Hak Adat Bumiputera untuk projek berkenaan.
“Bagi kami sekadar mengeluar arahan menghenti pembinaan empangan Baram sementara waktu bukan tindakan betul.
“Kami mahu Adenan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar membatal notis pengambilan tanah termasuk penghapusan Hak Adat Bumiputera di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Hadir sama ialah Setiausaha PKR Miri Bill Kayong dan Setiausaha PKR Baram Dennis Along.
Menurut Roland, menghentikan sekatan pada masa sama bukan sesuatu permulaan positif mengenai isu empangan.
“Tanpa sekatan tersebut, kerajaan tidak akan mengambil serius terhadap isu ini.
“Sekatan sudah hampir dua tahun. PKR Baram menyokong penduduk Baram melakukan sekatan selagi tiada keputusan agar cadangan empangan dihentikan serta-merta.
“Apa yang kami mahukan juga adalah keputusan muktamad sama ada projek dihenti atau diteruskan,” tegasnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment