KUCHING: Pemberian tugas kepada anak tempatan untuk mengurus tadbir Sarawak akan mempercepatkan dan melicinkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan termasuk pembangunan di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu lebih kuasa diberikan kepada kerajaan negeri untuk mengurus tadbir negeri ini supaya ia lebih cepat dan berkesan.
“Pemberian lebih kuasa kepada kerajaan negeri dalam mengurus tadbir jabatan-jabatan seperti dalam bidang pendidikan, kebajikan, pertanian, pembangunan belia dan sebagainya akan melancarkan dan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Malah sekiranya tugas-tugas itu diberi kepada anak tempatan sendiri maka ia lebih mudah untuk sesuatu proses penyampaian perkhidmatan termasuk perancangan pembangunan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tiga Tahun Sekali Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sarawak (UTES) Ke-10 di sebuah hotel di sini semalam.
Selain itu, Nancy memberitahu bahawa pendekatan tersebut juga dapat menjimatkan kos pengurusan yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negeri ini.
“Kalau kita masih menggunakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di negeri ini maka mereka ini perlu mengambil masa untuk mengetahui keperluan rakyat di sini.
“Jika tugas ini diberikan kepada anak tempatan sendiri, ia pasti lebih cepat dan berkesan kerana mereka sudah mengetahui latar belakang, suasana kehidupan serta keperluan rakyat Sarawak sendiri,” tambahnya.
Mengenai perkembangan lain, Nancy memberitahu bahawa pihaknya kini masih berusaha melakukan pindaan terhadap Akta Perkahwinan dan Penceraian 1976 bagi menyelesaikan kemelut berkaitan hak penjagaan anak bagi pasangan berlainan agama.
“Kami terus berusaha menyelesaikan dan mengharmonisasikan undang-undang sivil dan syariah berkaitan hak penjagaan anak bagi pasangan berlainan agama ini,” jelasnya.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau menyarankan agar kesatuan sekerja terus bersatu bagi memastikan keharmonian dalam pekerjaan sentiasa terpelihara.
“Saya berharap perpaduan yang terjalin dalam kesatuan sekerja dapat dipelihara dengan baik agar kita dapat terus membangun dalam meningkatkan ekonomi sendiri mahupun negara,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Pengguna Telekom Malaysia (TM) Imri Mokthar berkata, inspirasi TM kini ke arah memberi perkhidmatan bersepadu bukan sahaja untuk perkhidmatan talian tetap tetapi juga perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Langkah ini adalah usaha kami dalam melangkah lebih jauh dan kukuh dalam masa sama memberi kemudahan komunikasi terbaik kepada rakyat di seluruh negara,” ujarnya.
Hadir sama Presiden Union Network International Global (UNIG) Malaysia Mohamed Shafie ZBP Mammal, Presiden UTES Mohamad Ibrahim Hamid dan tetamu kehormat lain.-Utusan Borneo
Post a Comment