Pucuk pimpinan BN harus utama parti komponen




KUCHING: Pengumuman oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bahawa Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Selasa lalu, telah menjejaskan perjanjian mengenai agihan kerusi di kalangan parti-parti komponen.

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing menerusi kenyataan semalam menyuarakan kecenderungan perpecahan di kalangan parti-parti komponen BN Sarawak ekoran pucuk pimpinan BN tidak menghiraukan kepentingan parti-parti komponen BN.

“Kita kesal dengan pengumuman bahawa Paulus sebagai calon BN dan Datuk Sylvester Entri di Marudi oleh Ketua Menteri kita baru-baru ini tanpa mempertimbangkan pendirian parti kita dan kepentingan ahli daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tentang isu itu,” katanya.

Tiong menambah kata, seolah-olah wujud gerakan dalam BN untuk memusnahkan SPDP dan menggantikannya dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dengan menafikan calon-calon daripada parti mereka sebagai calon BN.

“Adakah ini harga yang perlu ditanggung SPDP atas kesetiaan kepada Ketua Menteri dan BN?

“Ia seolah-olah parti-parti kecil dalam komponen telah kehilangan suara dalam BN Negeri dan kami tertakluk kepada kuasa majoriti yang kini mengetepikan kepentingan dan hak kami sebagai ahli BN,” tegasnya.

Beliau bimbang jika pendirian bersama di kalangan PRS, SUPP dan SPDP diabaikan tiga parti komponen itu akan terpaksa bergandingan menentang calon luar BN yang mengambil alih kerusi mereka sebagai calon BN.

“Senario ini amat menyedihkan apabila parti-parti komponen perlu berjuang dengan calon-calon yang merampas tempat mereka di beberapa kerusi dengan restu pucuk pimpinan BN.

“Sejarah telah menunjukkan keupayaan untuk menang calon BN bergantung kepada kerjasama dan bantuan parti-parti komponen ketika pilihan raya, justeru kita perlu mengelakkan pertelingkahan dalaman,” katanya.

Presiden SPDP itu menegaskan bahawa lapan kerusi negeri yang diperuntukkan kepada partinya merupakan keputusan bersama, justeru apa-apa usaha menukar perjanjian itu perlu dicapai menerusi keputusan bersama di kalangan parti-parti komponen.

“Peruntukan kerusi-kerusi BN tidak wajar berdasarkan keputusan satu parti atau individu – terutama apabila melibatkan soal pemberian kerusi kepada parti luar BN.

“Sekali lagi kami menegaskan sokongan kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri sebagai ketua BN di peringkat negeri dan persekutuan tetapi pada masa sama kami mengharapkan mereka menjaga kepentingan kami sebagai parti-parti komponen,” katanya.

Tiong turut mempersoalkan rasionalisasi di sebalik keputusan menafikan hak SPDP untuk meletakkan calon di kerusi yang diperuntukkan dan memberikannya kepada TERAS.

“Jika ia bertujuan mengukuhkan dan menyeimbangkan BN ia tidak logik kerana bagaimana hendak mengukuhkan perikatan dengan merenggangkan parti-parti komponen dan menafikan hak mereka?

“Jika ia kerana penyandang yang menang kerusi itu di bawah SPDP boleh menang, bagaimana sesiapa sahaja boleh mengetahui kita tidak mempunyai calon boleh menang apabila kita belum pun mengumumkan nama mereka?” soalnya.

Tiong memberitahu, SPDP telah mempunyai barisan calon-calon berpotensi untuk bertanding di lapan kerusi yang diperuntukkan dan parti itu amat yakin mereka terdiri daripada calon boleh menang.

Katanya lapan calon itu merupakan pilihan SPDP dan bukan daripada parti lain yang memaksa pemimpin parti untuk menerima pilihan calon-calon mereka seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri yang lepas.

“Oleh kerana presiden kami sebelum ini adalah lemah kami perlu menerima pemilihan calon di Batu Danau, Bekenu dan Ba’Kelalan diketengahkan oleh pihak luar.

“Akibatnya kami tewas di Ba’Kelalan kerana dipaksa menerima pertukaran calon pada saat akhir dan kami memiliki dua wakil rakyat di peringkat negeri yang memberi taat setia kepada parti kami,” katanya.

Tiong berkata ia merupakan antara punca permasalahan dalam SPDP dan berjanji parti tidak akan tunduk kepada mana-mana campur tangan daripada pihak luar parti dalam pemilihan calon.

Presiden SPDP masih berharap masih wujud jalan keluar dari kemelut politik ini jika parti komponen berpegang dengan semangat kerjasama dan perpaduan dalam BN.

“Sekali lagi saya berharap pucuk pimpinan BN terutama Ketua Menteri kita mengekalkan semangat BN kerana tanpanya kekuatan kita akan terjejas dan pembangkang akan meraih peluang merampas kerusi-kerusi yang wujud konfrontasi antara calon BN,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget