SIBU – Kerajaan negeri akan meneliti bentuk bantuan yang sesuai untuk diberikan kepada keluarga empat anak kapal tunda yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai Abu Sayyaf berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah pada Jumaat lalu.
Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, perkara tersebut akan dibawa kepada pengetahuan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam masa terdekat.
“Mewakili kerajaan negeri, saya melahirkan rasa kesal dan simpati kepada keluarga yang terlibat.
“Buat masa ini, kita tidak tahu di mana mereka berada. Namun, saya pasti pihak terbabit akan menghubungi kita dalam beberapa hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke dua rumah keluarga mangsa iaitu keluarga adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chi, 29, serta sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21 di Jalan Pulau Li Hua 1 di sini malam tadi.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya juga masih tidak mengetahui apa permintaan penculik berkenaan.
Dalam pada itu, Soon Koh berkata, beliau berharap agar ahli keluarga mangsa yang kesemuanya berasal dari Sibu sentiasa bertenang dan bersabar.
Katanya, kerajaan negeri akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan kesemua mangsa selamat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Teck Kang, Teck Chi, Johnny dan Wong Hung Sing, 34, telah diculik sekumpulan lapan lelaki bertopeng yang lengkap bersenjata api sebelum dilarikan menggunakan bot laju di sempadan Pulau Ligitan.
Turut berada di atas kapal ketika kejadian berlaku ialah tiga anak kapal warga Myanmar dan dua dari Indonesia. Walau bagaimanapun, kelima-lima anak kapal warga asing itu dibebaskan.
- Utusan Online
Post a Comment