SIMUNJAN: Teka-teki calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan masih belum terjawab ekoran Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem enggan mengumumkan nama calon tersebut ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, semalam.
Namun, identiti enam calon berpotensi bagi kerusi DUN Simunjan didedahkan kepada orang ramai apabila kesemua nama mereka dipanggil satu persatu oleh pengerusi BN Sarawak itu sebelum keenam-enam mereka mengangkat sumpah setia di hadapan lebih 5,000 orang yang datang pada majlis tersebut.
Kesemua calon potensi itu, mengangkat sumpah setia untuk terus menyokong BN dan kepada calon dipilih yang akan bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) nanti sekiranya ada antara mereka tidak terpilih.
Calon-calon tersebut ialah Timbalan Penyelaras Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan Alwa Dris, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Ibrahim Sari’ee, Pengarah RELA Sarawak Rini Tupong, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sadong Jaya Zainap Halip, Raili Ali dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Mohd Yusof Long.
“Ingin menjadi calon tidak salah tetapi yang salahnya kalau dia tidak dipilih merajuk, ya (itu) salah.
“Saya tidak dapat memilih keenam-enam mereka, hanya seorang sahaja dipilih, jadi kita mahu kesemua mereka bersumpah (setia) dan kamu semua yang hadir menjadi saksi sumpah ini.
“Jadi saya minta Alwa, Raili, Ibrahim, Mohd Yusof, Zainap dan Rini angkat sumpah di hadapan kita bahawa mereka akan menyokong sepenuh-penuhnya calon yang dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan tempat letak kereta Dewan Mesra Simunjan di sini semalam.
“Mereka akan bersumpah kalau tidak dipilih mereka akan menyokong calon yang dipilih kerana saya tidak mahu perkara ini menjadi pergaduhan antara kamu…kalau kita bersatu padu tiada siapa dapat mengalahkan kita,” tegas Adenan lagi.
Pada majlis itu, beliau turut mengesahkan bahawa Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais sebagai calon BN yang akan bertanding di kerusi baharu DUN Gedong pada PRN11 nanti.
“Saya sahkan Yang Berhormat Mohd Naroden sebagai calon BN bagi kerusi DUN baharu Gedong,” katanya.
Sebelum ini, seramai lapan nama calon berpotensi bagi DUN Simunjan diserahkan kepada Adenan namun dua calon itu, Abang Mat Hussin dan Sulin Lumong tidak hadir pada majlis tersebut.
Terdahulu, Mohd Naroden semasa berucap pada majlis tersebut tidak dapat menahan sebak menitis air mata kerana tidak dapat lagi mewakili penduduk di DUN Simunjan pada PRN11.
Keadaan sayu itu berlarutan selama kira-kira dua minit sebelum beliau meneruskan ucapannya.
“Saya mungkin tidak dapat lagi mewakili penduduk di Simunjan kerana kemungkinan saya tidak dicalonkan di sini dan mungkin bertanding di kerusi baharu DUN Gedong.
“Memang hasrat saya hendak memohon persetujuan Ketua Menteri supaya DUN Simunjan ini bukan sahaja diwakili muka baharu yang mempunyai peluang kemenangan tinggi tetapi juga merupakan anak tempatan,” ujarnya.
Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan dan tetamu kehormat lain.-Borneo Post
Post a Comment