KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei menyokong kenyataan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin berhubung isu peningkatan kemalangan jalan raya berpunca kekurangan kemudahan pengangkutan awam negeri ini.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Demokratik (DAP) Negeri itu memberitahu untuk itu kerajaan harus mempertingkat sistem kemudahan pengangkutan awam di Sarawak bagi menangani purata kadar kemalangan jalan raya iaitu 18.3 sehari.
Malah, Wong selalu memperjuang agar sistem pengangkutan awam bandar ditambah baik serta mendesak kerajaan mengkaji jalan penyelesaian terbaik meningkatkan sistem kemudahan pengangkutan awam negeri ini.
“Beliau (Manyin) mengatakan bahawa 18.3 sehari purata kemalangan direkod disebabkan kekurangan kemudahan pengangkutan awam.
“Ini adalah satu kenyataan tepat berbanding PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang menyatakan 60 peratus kemalangan jalan raya disebab sikap pengguna itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Negeri di sini, semalam.
Pada masa sama Wong memberitahu kerajaan negeri akan mendapat sekurang-kurangnya empat manfaat sekiranya sistem kemudahan pengangkutan awam dilaksana di setiap bandar di negeri ini.
“Pertama keselamatan jalan raya dipertingkatkan, kedua ia membantu mengurangkan beban rakyat untuk membeli kenderaan sendiri, ketiga mengurangkan pencemaran alam, merancakkan produktiviti bandar dengan kurangnya masalah kesesakan jalan raya,” tambahnya.
Sehubungan itu, tegasnya, Manyin harus proaktif dalam memastikan sistem kemudahan pengangkutan awam memberi manfaat kepada rakyat khususnya di bandar.
Menurutnya lagi, pemohonan peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk tujuan itu adalah satu sikap yang pasif dan melambatkan pelaksanaan sistem kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.
“Dengan keadaan ekonomi negara dan reputasi pengurusan kewangan di bawah Perdana Menteri adalah sukar untuk meminta peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Manyin dan Kerajaan Negeri mengguna pakai dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor dalam menyediakan perkhidmatan bas awam percuma kepada rakyatnya.
Justeru, Wong memberitahu pihaknya akan menghantar surat kepada Manyin untuk mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan perkara tersebut dan berharap dapat mengadakan pertemuan selepas Tahun Baharu Cina nanti.
“Bajet kerajaan negeri Pulau Pinang 10 kali kurang berbanding Sarawak jadi apabila Pulau Pinang dapat melaksananya, saya yakin Sarawak turut mampu melakukannya,” ujarnya.-Utusan Borneo

Post a Comment