KUCHING: Jentera Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah siap sedia membantu parti dan Barisan Nasional (BN) ‘menggempur’ pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketuanya Dato Sri Empiang Jabu berkata jentera Wanita PBB telah bekerja keras dari dahulu lagi dalam keadaan susah dan senang dan tidak hanya ketika musim pilihan raya.
Malah katanya, apabila negeri berhadapan dengan bencana banjir, Wanita PBB adalah antara yang terawal tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
“Semua usaha murni yang dilakukan oleh Wanita PBB merupakan perjuangan ikhlas kami sama ada di peringkat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahupun di peringkat cawangan.
“Justeru kita sebagai wanita PBB jangan sesekali berputus asa dan teruskan menabur bakti meskipun dihujani tohmahan daripada pihak pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menangguhkan Bengkel Transformasi Penceramah Berkesan Pergerakan Wanita PBB Sarawak 2016 di Kompleks Belia dan Sukan di sini, semalam.
Bengkel tersebut telah berlangsung selama empat hari bermula 12 hingga 15 Februari sebagai perisapan menghadapi PRN yang dijadual pada bila-bila masa.
Turut hadir, Pengerusi Tetap PBB Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Wanita Datuk Fatimah Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Bengkel Nancy Shukri serta yang lain.
Pada majlis itu, Empiang turut mengingatkan ahli-ahli Wanita PBB supaya lebib agresif dalam menangkis tohmahan pembangkang terutama menerusi media sosial.
“Kita semua perlu ingat bahawa pengundi hari ini adalah daripada kalangan yang berpendidikan tinggi dan kita sebagai wanita perlu lebih bijak dalam hujah-hujah kita.
“Jangan mudah patah semangat dengan perang psikologi pembangkang yang digunakan oleh mereka demi mencapai matlamat mereka,” ujarnya.
Empiang dalam itu turut yakin dengan tahap kesiapsiagaan jentera wanita yang kini berada pada tahap tertinggi dan bersedia untuk berjuang pada bila-bila masa sahaja.
“Matlamat kita adalah untuk memberikan kemenangan yang besar kepada PBB di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku presiden parti dan pengerusi BN Negeri.
“Kekalkan perpaduan dan terus berjuang dan ingatlah bahawa BN adalah parti yang berjuang memartabatkan rakyat, negeri dan negara kita selama ini,” tegasnya. - Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.