SPDP cadang Henry Jinep dicalon di kerusi Tasik Biru


BAU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mencadangkan tokoh korporat, Dato Henry Harry Jinep sebagai calon Barisan Nasional (BN) Tasik Biru.

Setiausaha Agungnya Anthony Nogeh Gumbek berkata, parti amat percaya bahawa Henry yang pernah menerima Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang 2015, calon boleh menang di kerusi berkenaan.

Beliau mendedahkan dua calon berpotensi sebelum ini, Peguam Cilla Nasu dan Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, William Jinep menawar diri memberi laluan kepada Henry.

“Parti telah membuat cadangan kepada pemimpin tertinggi bahawa calon kami untuk Tasik Biru adalah Dato Henry Harry Jinep.

“Seperti semua maklum, Dato Henry seorang usahawan sangat berjaya dan tokoh korporat. Beliau sangat terkenal di Tasik Biru kerana melakukan banyak khidmat masyarakat seperti membantu tempat ibadat dan persatuan di Tasik Biru.

“Parti kami percaya Dato Henry calon berpotensi menang di Tasik Biru,” kata Nogeh ketika ditemui selepas merasmikan sebuah majlis di Kampung Stenggang dekat sini, semalam.

Sementara itu Henry dalam respons berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti kerana mempunyai kepercayaan dan keyakinan kepadanya untuk memikul tanggungjawab dan tugas bagi SPDP dan BN.

“Secara peribadinya saya bersedia memikul tanggungjawab dan saya berikrar dengan kesanggupan dan kesediaan berkhidmat untuk rakyat dan saya bersedia membawa balik kerusi N.2 (Tasik Biru) kepada SPDP dan BN.

“Dengan sokongan rakyat dan sokongan ahli parti serta daripada komponen BN lain, saya percaya kami boleh membawa kemenangan kepada Barisan Nasional.

“Saya mengakui ada sokongan memberangsangkan daripada komponen BN lain di Tasik Biru seperti PBB, SUPP dan PRS,” katanya.

SPDP berjanji akan mempertahankan Tasik Biru, iaitu salah satu daripada lapan kerusi secara tradisinya diperuntuk kepada parti itu.

Henry, 48 tahun merupakan ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat Putra Sentosa.

Abang beliau, William yang sebelum ini pernah diperkenal sebagai calon menyatakan persetujuan memberi laluan kepada adiknya kerana masih mahu terus berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Saya berterima kasih juga kepada abang saya, William atas skongan dan kerja turun padang beliau telah lakukan bersama pasukannya selama ini.

“Hasil kerja mereka ia memberi keyakikan dan sokongan rakyat terhadap SPDP di Tasik Biru. Saya berharap mereka terus memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Keluarga berkenaan dikenali terlibat secara aktif dalam memberi khidmat kepada masyarakat khususnya dalam menyumbang kepada gereja di Bau dan Lundu.

Baru-baru ini Gereja St Peter dibina sebagai hadiah Krismas daripada keluarga berkenaan kepada penganut Katolik di Kampung Stungkor Lama dekat Lundu.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget