KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 1,713 kes jangkitan HIV sehingga 2013 selepas kes pertama dikesan pada 1989.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen HIV Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ruziana Mis berkata ia melibatkan peningkatan kadar jangkitan seramai 7.38 daripada 100,000 penduduk.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut jangkitan itu telah membunuh seramai 46 pesakit.
“Kadar ini lebih rendah daripada kadar kebangsaan iaitu 11.42, tetapi berlaku peningkatan dua kali ganda berbanding 10 tahun lepas yang mencatatkan kadar 3.4 daripada 100,000 penduduk,” katanya ketika menyampaikan ceramah kesedaran HIV di Auditorium FINAS di sini, semalam.
Faktor risiko utama jangkitan ini katanya ialah melalui hubungan seksual selain perkongsian jarum suntikan dan vertikal.
Katanya, jumlah pesakit yang masih hidup dianggarkan berjumlah 1,311 orang daripada 190 kes jangkitan HIV.
Menurutnya, lelaki masih menjadi majoriti jangkitan iaitu 74.7 peratus berbanding wanita (25.3 peratus) dengan purata umur antara 20 dan 39 tahun.
Ruziana berakta, Bumiputera Sarawak merupakan kumpulan etnik yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 40 peratus daripada jumlah yang direkodkan.
Selain itu, ia diikuti Cina dengan 27.4 peratus, Melayu (22.2 peratus), warga asing (10 peratus) dan etnik lain sebanyak 0.5 peratus.
Dalam perkembangan sama, antara cabaran dalam menjalankan kempen kesedaran tentang bahaya HIV termasuk sukar mendapat kerjasama daripada segelintir sekolah serta persepsi negatif masyarakat terhadap kempen penggunaan kondom.
Ia penting dalam menjalankan kempen dan pencegahan di peringkat sekolah bagi memberi kesedaran awal terutama dalam kalangan pelajar. -Utusan Borneo.
Post a Comment