KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low mengakui bahawa tahun 2015 adalah tahun yang teruk buat Malaysia dalam aspek integriti.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan negara yang merosot ke tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015 Transparency International, berbanding tempat ke-50 untuk tahun 2014.
“Tahun 2015 adalah tahun yang buruk buat Malaysia. Terlalu banyak perkara yang terjadi dan memberi kesan kepada (indeks) persepsi. Anda pasti tahu perkara-perkara ini,” katanya merujuk skandal 1MDB dan pelbagai dakwaan lain melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menteri bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti ketika dihubungi FMT di sini, baru-baru ini berkata, segala dakwaan itu juga memberi persepsi buruk dalam komuniti perniagaan yang penting kepada negara.
Justeru, katanya lagi, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan keadaan pada tahun 2016.
“Banyak penstrukturan semula perlu dilakukan dalam kerajaan. Saya khususnya, sedang bekerja keras dalam beberapa isu teras.”
Katanya lagi, antara beberapa langkah yang telah dan akan diambil kerajaan adalah meningkatkan kebebasan auditor dalaman, menempatkan pegawai integriti di semua kementerian dan mengurangkan jumlah projek yang bermasalah.
“Ini bukan kerja jangka pendek, untuk mengubah budaya dalam kerajaan di setiap peringkat.
“2015 adalah tahun yang sukar. Kita boleh pulihkan keadaan pada tahun ini, dengan syarat tiada perkara yang serius berlaku,” katanya lagi.-Free Malaysia Today
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.