KUCHING – Rakyat negeri ini yang berminat menyertai Askar Wataniah (AW) diminta hadir di Rejimen 511 AW Kem Ria di sini bermula pukul 8 hingga 4 petang pada 11 dan 12 Februari ini.
Timbalan Komandan Rejimen 511 AW, Leftenan Kolonel Ding Tiew Wong berkata, pengambilan tersebut bagi tujuan kerahan anggota ke Briged Sempadan yang bakal diwujudkan di negeri ini.
“Sebanyak 1,400 anggota AW diperlukan dari negeri ini dan bagi mereka yang gagal pemilihan rekrut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini juga digalakkan hadir.
“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga akan datang ke Rejimen 511 pada 11 Februari ini untuk menyaksikan sesi pemilihan dan pengambilan terbuka AW yang akan dibantu oleh Tim Kesihatan dan Risik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, syarat kemasukan adalah warganegara Malaysia, umur 18 tahun dan tidak melebihi 29 tahun, memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mengikut fizikal ditetapkan dan taraf kesihatan yang baik.
“Proses pemilihan sebanyak tiga peringkat iaitu dokumentasi dan kaunseling, ujian bertulis dan kecergasan asas serta temuduga akhir,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Timbalan Komandan Rejimen 511 AW, Left. Kolonel Ding Tiew Wong di talian 019-6797685 atau Pegawai beranggungjawab Latih dan Pengambilan, Kapten Yusof ditalian 019-9050881.
- Utusan Online

Post a Comment