KUALA LUMPUR - Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selama tiga bulan bermula 15 Februari ini hanya tertakluk kepada PATI yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan pernah mendapat permit kerja yang sah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bagi menyertai program itu, PATI perlu tampil dengan majikan masing-masing.
Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memanggil kumpulan yang terlibat seperti persatuan majikan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan untuk mendengar pandangan mereka.
“Program ini bersyarat dan antara syarat adalah hanya untuk PATI yang mempunyai dokumen pengenalan sah dan pernah memiliki permit kerja yang sah sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selama tiga bulan bermula 15 Februari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu lalu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan majikan dalam semua sektor di seluruh negara berurusan terus dengan kerajaan tanpa melalui ejen.
Menurut beliau, menerusi program itu kerajaan menjangkakan dapat membantu menyelesaikan masalah kira-kira dua juta pekerja asing yang tiada sebarang dokumen rasmi dari pelbagai negara.
Tambah Nur Jazlan, mengenai kadar baharu levi, kadar itu telah ditentukan kerajaan.
“Sebarang pertimbangan kepada kadar levi akan dibuat demi kepentingan negara dan bukan keuntungan majikan,” ujarnya.
- Utusan Online

Post a Comment