Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak pernah direkrut oleh sesiapapun untuk menegakkan kebenaran atau untuk menjatuhkan parti.
Mengulas beberapa laporan mengenai dakwaan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang Muhyiddin adalah rekrut terbaru beliau dalam perjuangan menyelamatkan Malaysia, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau bukan seorang rekrut.
"Saya ingin menjelaskan, kenyataan tersebut adalah pandangan peribadi beliau (Lim). Saya tidak pernah direkrut oleh sesiapapun untuk menegakkan kebenaran.
"Apa yang saya suarakan selama ini adalah lahir daripada kesedaran saya sendiri mengenai nasib yang menimpa rakyat dan negara," katanya dalam posting di laman Facebook beliau malam ini.
Muhyiddin, yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Johor, turut menafikan pernah berkata beliau mahu menumbangkan Umno, menyangkal laporan "dipintal" beberapa portal ekoran kenyataan Lim pada 13 Februari di Muar itu.
"Yang menjadi isu ialah kepimpinan perdana menteri, bukan Umno," katanya.
Muhyiddin, yang dipecat dari Kabinet Julai tahun lalu, berkata beliau amat memahami kebimbangan rakyat mengenai apa yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya pelbagai krisis yang melanda negara, ekoran masalah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, berterusan.
"Kerana itulah saya mengambil pendirian untuk bersuara.
"Saya percaya, masalah kepimpinan perdana menteri, yang dikaitkan dengan dakwaan penglibatan beliau dalam beberapa skandal kewangan negara, dikongsi sebahagian besar rakyat di negara ini melampaui batas politik, ideologi atau kaum," katanya.
Muhyiddin disingkirkan dari kerajaan selepas beliau secara terbuka mengkritik Najib berhubung cara beliau mengendalikan isu 1Malaysia Development Berhad yang sarat hutang dan kontroversi 'derma' RM2.6 bilion.
Sabtu lalu, berucap di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Harapan Johor, Lim dilaporkan memuji Muhyiddin kerana menuntut kebenaran tentang isu negara dan berjanji Pakatan Harapan di Johor akan bekerjasama dengannya.
"'Selamatkan Malaysia' daripada menjadi sebuah negara gagal dan penyangak kini mesti menjadi seruan semua rakyat Malaysia, bermula dari Johor, dan saya gembira makin ramai rakyat Malaysia menyahut panggilan patriotik ini sebelum ia terlambat.
"Rekrut terbaru agenda 'Selamatkan Malaysia' adalah Muhyiddin yang membawa mesej mengenai keperluan yang mendesak dan penting untuk rakyat Malaysia bersatu 'Selamatkan Malaysia' dari menjadi 'negara gagal' ketika berucap di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pagoh," kata Lim dalam ucapannya.
Katanya, gabungan pembangkang itu sedia bekerjasama dengan Muhyiddin dan pemimpin Umno lain, MCA dan Barisan Nasional di semua peringkat di negeri itu jika mereka bersedia bersuara memperjuangkan hak rakyat dan masa depan negara. – The Malaysian Insider.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.