Memorandum kepada 5 Negara Kuasa Dunia


KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik pembangkang telah menghantar memorandum kepada lima ahli tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta bantuan untuk membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Wakilnya, Ronnie Liu Tian Khiew berkata lima negara itu ialah Amerika Syarikat (AS), Perancis, China, Rusia dan British.

Dalam pada itu, Ronnie akui, buat masa ini hanya pihak AS yang disahkan telah menerima memorandum itu dan kami akan adakan perjumpaan dengan empat negara lagi secara berperingkat.

“Paling terdekat, kami akan berjumpa dengan pihak Perancis di kedutaannya di Malaysia pada 23 Februari ini.

“Kami sangat bersyukur selepas pihak AS telah menerima memorandum kami dan memberi jaminan akan melihat dari segi kesihatan Anwar,” katanya di luar bangunan Kedutaan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH), Saari Sungib yang turut berjumpa dengan pihak kedutaan AS memuji sikap mereka yang tidak mencampur aduk elemen politik dengan kemanusiaan.

Saari yang juga ADUN Hulu Kelang berkata, walapun kedutaan AS menyokong Malaysia namun mereka tetap sependapat dengan kami yang melihat Anwar patut dibebaskan dari segi hak kemanusiaan.

“Dalam pertemuan tadi, perkara yang menjadi penilaian utama adalah dari segi hak kemanusiaan,” katanya.

Antara parti pembangkang dan gabungan NGO yang menyerahkan memorandum bebaskan Anwar ialah PKR, DAP, AMANAH, PSM dan Otai Reformasi.

Turut hadir dalam penyerahan memorandum di Kedutaan AS hari ini adalah anak Anwar Ibrahim, Nurul Nuha Anwar. - FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget