KUCHING: Bahagian saluran penghantaran elektrik Kemena-Selangau 275kV telah berjaya dibaik pulih Ahad lepas oleh SESCO.
Kenyataan akhbar dikeluarkan Sarawak Energy Berhad (SEB) menyatakan bahawa kerja-kerja membaik pulih saluran yang terjejas iaitu sepanjang Sungai Tatau bermula jam 7.30 pagi dengan kerja-kerja baik pulih fizikal siap pada 12.45 tengah hari dan membekalkan semula tenaga elektrik kira-kira jam 3.30 petang hari sama.
Cuaca yang baik dan persiapan teliti yang dibuat membolehkan pasukan teknikal membaik pulih saluran penghantaran elektrik sebelum menyasar kerja baik pulih dan siap sepenuhnya pada jam 5 petang.
Operasi yang berlangsung selama lapan jam itu dikendalikan oleh pasukan di tapak terdiri daripada 40 pakar teknikal, pengawai kanan keselamatan dan pengurusan daripada SEB diketuai Pengurus Kanan Operasi Saluran Penghantaran Robert Cheu.
Naib Presiden Kanan Operasi Sistem Grid SEB Victor Wong berada di lokasi untuk memantau operasi berlangsung.
Pasukan itu memfokus kepada kerja-kerja membaik pulih saluran yang rosak dengan selamat manakala saluran lain akan terus membekalkan kuasa dari loji penjanaan di utara Sarawak kepada pelanggan di selatan negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit, berkata: “Taniah dan terima kasih kepada pasukan daripada SESCO dan kontraktor saluran penghantaran elektrik kami, Larico Infrastructure Sdn Bhd kerana telah melakukan tugas dengan baik sekali dan pada piawaian tinggi.
“Saya gembira kerana pelanggan kami boleh melakukan aktiviti harian mereka ketika kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan.
“Kepada pelanggan kami, saya ucapkan terima kasih kerana memahami dan memberi sokongan. Kami akan terus memfokus kepada usaha-usaha untuk memperkukuhkan lagi sistem grid tenaga Sarawak dan keselamatan kuasa di negeri ini.”
CEO SESCO Lu Yew Hung pula berterima kasih kepada pasukan yang selama ini dalam keadaan siap siaga sepanjang hujung minggu lalu, menyokong operasi ini dan mengembalikan kuasa secepat mungkin sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
SEB memfokus untuk memperkukuhkan ‘kebolehpercayaan sistem’ dan mengelak berulangnya insiden bekalan elektrik terputus pada skala besar dengan menyiapkan bahagian kritikal projek Penghantaran ‘Backbone’ 500kV pada suku kedua 2016.
Sebelum itu, penghantaran tenaga elektrik dari utara ke selatan (Sarawak) bergantung kepada saluran Penghantaran ‘Backbone’ yang ada sekarang iaitu regangan Kemena-Selangau. - Utusan Borneo.
Post a Comment