Usahakan tanah terbiar semaksimum mungkin untuk tujuan sara diri atau komersil
SRI AMAN: Berbudilah kepada tanah, nescaya taraf kehidupan masyarakat akan bertambah baik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri.
Menurutnya, usahakanlah tanah terbiar semaksimum mungkin sama ada untuk tujuan menyara diri atau komersil.
Katanya tanah dibiarkan begitu sahaja adalah sesuatu yang amat merugikan dan ambil inisiatif mengusahakannya bagi meningkatkan taraf hidup.
“Penanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan ladang ternakan amat menguntungkan dalam jangka panjang bagi rakyat di luar bandar yang mempunyai tanah,” katanya pada Majlis Penyampaian Pampasan Tanah Projek ‘Paddy Granary Bijat-Stumbin’ di Dewan Masyarakat Melayu Stumbin dekat sini, semalam.
Simoi berharap rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan membangunkan tanah demi kesenangan mereka.
“Kita lihat banyak tanah menjadi hutan belukar dahulu kini berubah menjadi sawah padi, ladang sayuran, buah-buahan dan ternakan.
“Ini adalah usaha kerajaan membantu rakyat meningkatkan taraf hidup,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Simoi meminta penduduk sentiasa bersabar berhubung isu pembangunan kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya pembangunan diagih-agihkan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan semasa.
“Kerajaan tidak dapat memberi pembangunan serentak kerana memerlukan kos tinggi dan masalah lain namun tetap berusaha memenuhi tuntutan rakyat mengikut keperluan,” jelasnya.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Sri Aman Hamdan Katang serta pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman. - Utusan Borneo.
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.