Adenan Ulangi Komitmen Majukan Sekolah Persendirian Cina


KUCHING: Tan Sri Adenan Satem hari ini mengulangi komitmennya bagi memajukan sekolah persendirian Cina terutama di Sarawak, melalui dasar dan tindakannya sejak dilantik sebagai ketua menteri pada 2014.

Sebagai contoh, beliau menyebut mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), apabila tahun lepas beliau mengumumkan bahawa Sarawak akan mengiktiraf sijil dan pemegang sijil boleh memohon kerja dalam perkhidmatan awam negeri.

UEC adalah ujian standard bagi pelajar sekolah tinggi persendirian Cina anjuran Dong Zong, Gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM).

Walaupun sijil itu tidak diiktiraf kerajaan pusat dan tidak boleh digunakan sebagai sebagai untuk memasuki universiti awam, Adenan berkata ia tidak menjadi masalah memandangkan sijil itu diterima oleh banyak universiti awam di dunia.

"Saya berhasrat untuk bercakap dengan Menteri Pendidikan di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara ini, agar kita dapat memperluaskan pengiktirafan sijil ini," katanya dalam ucapannya semasa merasmikan SJK (C) Chung Hua 1 yang baharu di Jalan Tabuan, di sini hari ini.

"...ia bukan kerana pilihan raya semakin dekat, tidak, namun semata-mata kerana ini adalah yang terbaik perlu dilakukan, sama ada sekarang atau selepas ini. Sebab itu saya buat keputusan ini, demi manfaat rakyat Sarawak," katanya.

Adenan kemudian mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membantu membangunkan SJK (C) Chung Hua 1.

Beliau berkata pada 2014, kerajaan negeri memberi RM3 juta kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Swasta Cina Sarawak, untuk diagihkan kepada 14 sekolah swasta Cina di negeri ini dan kira-kira RM5 juta tahun ini.

Beliau seterusnya berjanji jumlah itu akan dinaikkan kepada RM6 juta tahun depan.

Tahun lepas, Adenan mengumumkan pengiktirafan Sarawak ke atas UEC, yang akan membolehkan graduan yang mendapat kredit Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon kerja sebagai penjawat awam negeri, mendapatkan pinjaman dan biasiswa Yayasan Sarawak, dan menyambung pelajaran di Swinburne University Kuching, Curtin University Sarawak, dan Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) Sibu.

-- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget