Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) membantah tindakan kerajaan dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang baru-baru ini melarang kemasukan saudara Mandeep Singh ke negeri tersebut.
Pada hujung minggu yang lepas, Mandeep, selaku aktivis dan pengurus BERSIH 2.0, telah berkunjung ke Sarawak untuk menjalankan tugas persiapan projek pemantauan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal berlangsung.
Sewaktu dalam perjalanan pulang, beliau dimaklumkan oleh pihak imigresen bahawa beliau sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak kerana namanya termasuk dalam senarai larangan sejak 28 Januari 2016 atas arahan Ketua Menteri Sarawak.
Penyalahgunaan autonomi dan kuasa imigrasi
Tidak dinafikan bahawa Sarawak mempunyai autonomi dalam hal-hal imigrasi, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Imigrasi 1959/1963. Akan tetapi, autonomi tersebut tidaklah termasuk kuasa untuk melarang seseorang tanpa asas yang kukuh.
Sebaliknya, seksyen 67 Akta Imigrasi 1959/1963 dengan jelas menyatakan bahawa autonomi tersebut “hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah”.
Tujuan BERSIH 2.0 dan Mandeep ke Sarawak adalah untuk menubuhkan kumpulan pemantau bebas untuk pilihan raya negeri yang bakal berlangsung. Proses pemantauan bebas diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu langkah penting untuk memastikan pilihan raya dijalankan dengan telus dan adil.
Adakah larangan oleh Tan Sri Adenan Satem terhadap Mandeep dan BERSIH 2.0 bererti beliau tidak menyokong proses pilihan raya yang bersih dan adil? Jika tidak, Tan Sri Adenan Satem perlu menyatakan dengan jelas sebab-sebab beliau mengarahkan larangan tersebut.
Perjumpaan antara BERSIH 2.0 dan Tan Sri Adenan Satem yang gagal berlangsung
BERSIH 2.0 terkejut dengan tindakan Tan Sri Adenan Satem kerana pada bulan Disember yang lepas, pegawai beliau telah menghubungi BERSIH 2.0 untuk memaklumkan bahawa beliau bersetuju berjumpa dengan BERSIH 2.0, ekoran dua surat rasmi yang dihantar oleh BERSIH 2.0.
Perjumpaan tersebut bertujuan membentuk strategi kerjasama untuk memastikan pilihan raya negeri Sarawak berlangsung dengan bersih dan adil. Akan tetapi, perjumpaan tersebut gagal berlangsung walaupun BERSIH 2.0 telah membuat susulan selama dua bulan.
Sebaliknya, BERSIH 2.0 kemudiannya diberitahu oleh pegawai Tan Sri Adenan Satem bahawa beliau hanya akan berjumpa dengan BERSIH 2.0 selepas pilihan raya selesai, dan kini pula saudara Mandeep telah dilarang masuk ke Sarawak.
Sekatan terhadap hak asasi rakyat
Mandeep bukanlah individual pertama yang dilarang masuk ke Sarawak. Sebelum ini, ramai aktivis, pemimpin NGO, dan ahli politik yang telah disenarai hitamkan. Mereka termasuklah Puan Maria Chin Abdullah (Pengerusi BERSIH 2.0) dan Dato’ Ambiga Sreenevasan (mantan Pengerusi-bersama BERSIH 2.0), dan saudara Wong Chin Huat (Penyelaras Sumber BERSIH2.0).
Tindakan Tan Sri Adenan Satem ini bukan sekadar larangan untuk masuk ke Sarawak. Tindakan beliau merupakan penyekatan terhadap hak bersuara, hak berfikir, dan hak untuk berpolitik kesemua rakyat Malaysia, termasuk rakyat Sarawak.
Tindakan Tan Sri Adenan Satem tidak seharusnya meneruskan dasar-dasar yang menyekat kebebasan rakyat sepertimana yang diamalkan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak. Sebaliknya, beliau harus menunjukkan komitment beliau untuk mereformasikan sistem pentadbiran Sarawak, dan ini termasuklah keterbukaan untuk menerima pandangan dan kritikan daripada semua lapisan masyarakat.
Rakyat Sarawak perlu memastikan pilihan raya berlangsung dengan bersih dan adil
BERSIH 2.0 menyeru kepada rakyat Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dan kebebasan mereka melalui pilihan raya yang akan datang. Sekatan-sekatan terhadap aktivis BERSIH 2.0 juga tidak akan membantutkan kerja pemantauan yang akan dimulakan di Sarawak dalam masa terdekat.
BERSIH 2.0 mengalu-alukan rakyat Sarawak yang berminat untuk menyertai pasukan pemantau BERSIH 2.0 bagi memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan telus. Mereka yang berminat untuk menyertai pasukan Pemantau Bersih boleh menghantar nama dan nombor telefon kepada:info@bersih.org
—–
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –
Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Shahrul Aman Mohd Saari; Bendahari: Thomas Fann; wakil kebangsaan: Ng Geok Chee, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan Rama Ramanathan; naib pengerusi: Ann Teo (Sarawak), Benedict Mansul (Sabah), Ong Lai Mun (Semenanjung Selatan), Jay Jay Denis (Semenanjung Tengah), Muhammad Safwan Anang @Talib (Semenanjung Timur) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).
-BERSIH.ORG
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.