Wanita PBB diingat bersedia menghadapi PRN


KUCHING: Ahli Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

Peringatan ini dibuat oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi ketika menerima kunjungan Hari Raya daripada ahli-ahli Wanita PBB di kediamannya malam kelmarin.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Jelas Mordiah, meskipun beliau kini tidak lagi bergiat dalam bidang politik namun beliau tetap mengambil tahu perkembangan semasa politik terutama melibatkan PBB dan wanitanya.

“Sebagai persediaan menghadapi PRN, anda sebagai ahli-ahli wanita PBB perlu ada inisiatif dengan turun padang seawal mungkin bagi mengenal pasti isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.

“Apa yang penting ialah perjuangan harus diteruskan bagi memastikan PBB dan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti,” katanya.

Dalam amanat ringkasnya, Mordiah turut mengingatkan ahli-ahli Wanita PBB supaya tidak mengabaikan tanggungjawab di rumah dalam memperjuangkan parti.

“Dalam kesibukan anda memperjuangkan parti demi kepentingan rakyat dan negeri, anda jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab anda kepada suami dan anak-anak.

“Sebelum keluar berkempen misalnya, pasti pakaian dan makan minum serta keperluan di rumah telah disediakan dengan secukupnya agar suami dan anak-anak anda tidak berasa diabaikan,” ujarnya.

Turut hadir dalam kunjungan raya itu semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang juga merupakan anak kepada Mordiah dan Naib Ketua PBB Sayap Pesaka Datin Catherine Gramong.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget