Umno perlu selesai 3 isu besar sebelum PRU14, kata Shafie


Tiga isu itu ialah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Felda, katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru hari ini.

"PRU14 akan menjadi sukar dan Umno mesti sangat bersatu dalam jenteranya untuk menghadapinya.

"1MDB, GST dan Felda merupakan isu yang mesti kita tangani," Shafie memberitahu hadirin.

Ia merupakan majlis rasmi pertama Shafie sejak beliau digugurkan daripada Kabinet pada 28 Julai, bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Shafie, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, adalah salah seorang daripada beberapa menteri yang secara terbuka mempersoalkan pengendalian skandal 1MDB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB, yang dimiliki Kementerian Kewangan dan cetusan idea Najib, ketika ini disiasat berhubung hutang terkumpulnya mencecah RM42 bilion.

Penyiasat juga melihat kepada dakwaan yang sejumlah RM2.6 bilion wang daripada syarikat berkaitan 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Di samping isu besar tersebut, Shafie berkata, Umno juga harus menangani kebimbangan rakyat berhubung isu kehidupan harian seperti kenaikan kos sara hidup, kemampuan mendapatkan peluang pendidikan dan pekerjaan. 

Shafie berkata beliau akan terus menyokong presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun digugurkan daripada Kabinet. 

"Saya akan terus bekerjasama dengan parti dan bahagiannya. Saya salah seorang pengasas Umno Sabah dan saya komited terhadap parti walaupun saya tidak mempunyai sebarang jawatan." 

Pada masa yang sama, beliau menegaskan pandangan beliau bertujuan untuk mengukuhkan sokongan parti itu di kalangan orang ramai walaupun ia boleh dianggap sebagai kritikal.

"Saya menyokong pentadbiran presiden. Masih terdapat isu-isu di mana kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi niat kita adalah untuk kebaikan parti. Ia bukan negatif." 

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata parti itu mesti terbuka kepada kritikan dan perbezaan dalam titik pandangan. 

"Kita tidak boleh hanya menjadi parti pak turut," kata Shafie.

- The Malaysian Insider
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget