TPM arah PDRM ambil tindakan ke atas Brown



KUALA LUMPUR  - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada sebarang surat arahan, waran tangkap mahupun draf pertuduhan dilakukan Jabatan Peguam Negara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, laporan oleh Sarawak Reportkononnya terdapat draf kertas pertuduhan ke atas Perdana Menteri yang membawa kepada pelantikan Peguam Negara baharu menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail adalah berniat jahat bagi mewujudkan persepsi negatif.

Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, agar mengambil tindakan susulan segera ke atas pengasas dan pengendali portal kontroversi tersebut, Clare Rewcastle Brown.

Bagaimanapun jelasnya, siasatan serta bentuk tindakan ke atas laman portal Sarawak Report pula bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan perkara tersebut akan diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya secara rasmi ingin menafikan kononnya ada dokumen atau surat arahan bagi penangkapan dan pendakwaan ke atas Perdana Menteri. Laporan Sarawak Reportadalah laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri.

“Peguam Negara sudah menafikan dan beberapa pegawai yang terlibat dalam siasatan juga mengesahkan tiada dokumen dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Khalid.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam kenyataan segeranya sebaik laporan tersebut tersebar berkata, dakwaan mengenai draf pertuduhan itu adalah palsu dan merupakan bentuk konspirasi pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget