Tiga daerah baharu pacu pembangunan Baram


Sokongan padu akan memudahkan usaha kerajaan membawa kemajuan ke kawasan pedalaman: Jabu
MIRI: Tiga daerah baharu bakal mempercepat proses pembangunan di Baram kerana banyaknya pusat pentadbiran, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Jelasnya, ia merupakan salah satu usaha kerajaan membawa pembangunan di kawasan pedalaman.

“Ia bakal memacu Baram ke arah pembangunan pantas kerana terdapat banyak pusat pentadbiran kerajaan,” katanya pada majlis jamuan makan malam Persatuan Kayan Sarawak (PKS) di sini malam kelmarin.

Jabu menjelaskan, ia juga menjadi bukti kerajaan sangat komited membawa pembangunan di pinggir bandar.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak datang dengan mudah jika masyarakat Orang Ulu enggan memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk terus mentadbir negeri ini.

“Kita boleh lihat pada suatu ketika dahulu ketika Baram di bawah pembangkang, kerajaan tidak dapat memberi sebarang pembangunan,” jelasnya.

Apatah lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bertambah sebanyak 11 kerusi dan Baram salah satu kawasan mempunyai DUN baharu.

“Jadi, untuk kita terus mempunyai wakil rakyat sekali gus suara dapat didengar di peringkat atasan, kita harus memilih jalan betul,” ujarnya lagi.

Mengenai penyatuan masyarakat Orang Ulu, masyarakat Dayak dan masyarakat Bumiputera katanya pada satu ketika dahulu paling sukar disatu kerana faktor geografi, pecahan etnik ramai dan ketidaksefahaman politik.

“Tapi saya bangga kini semua kita sudah sedar mengenai kepentingan bersatu dan mempunyai suara ramai yang senang untuk didengar,” jelasnya.

Justeru, beliau amat mengharapkan kerjasama dan gandingan bahu antara etnik di Sarawak demi masa depan terutamanya bagi mencapai visi tahun 2020.

“Kerana pada 2016, akan bermula Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu bagi tempoh 2016 hingga 2020, jika kita tidak bersama kerajaan, kita akan rugi sepenuhnya,” tambahnya.

Turut berucap adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok yang juga merupakan Presidan PKS.

Hadir sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Lihan Jok, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Ketua-Ketua Masyarakat Orang Ulu serta sekitar 700 hadirin.

Majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan tarian tradisional, nyanyian kugiran secara ‘live,’ penyampaian watikah pelantikan ahli jawatankuasa pusat serta eksekutif PKS, penyampaian insentif pelajar cemerlang dan juga anugerah penghargaan tokoh Kayan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget