SARIKEI: Sejumlah RM2.2 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui Program Transformasi Luar Bandar membina dan menaik taraf dewan masyarakat di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belawai.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menetri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata peruntukan itu bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan masyarakat luar bandar.
“Sejumlah RM500,000 digunakan untuk membina semula dewan di Kampung Rajang, RM700,000 dewan di Kampung Belawai, RM500,000 dewan di Kampung Selalang, RM200,000 dewan di Kampung Jerijeh dan RM300,000 pembinaan dewan Kampung Kinyau.
“Semua projek sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei.
Beliau berkata pembinaan dewan orang ramai itu adalah amat perlu memandangkan jumlah penduduk di semua kawasan semakin meningkat dan kemudahan sedia ada tidak dapat menampung permintaan orang ramai malah sebahagiannya uzur.
Katanya pembinaan dewan itu merupakan janji yang ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN) bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar.
“Kerajaan negeri juga membina kemudahan itu di beberapa kawasan lain bagi memudahkan orang ramai melakukan aktiviti kemasyarakatan.
“Kita berharap rakyat terus berdiri teguh di belakang kerajaan dan kepimpinan BN bagi memastikan usaha pembangunan dapat dijalankan dengan terancang dan tersusun,” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment