KUCHING, Isnin – Sebanyak RM100 juta telah dipohon daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi perlaksanaan projek tebatan banjir di bandar Bintulu. Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Chok Moi Soon berkata, Lembaga kemajuan Bintulu (BDA) dan DID bekerjasama menyediakan pelan induk saliran dan tebatan banjir bagi mengawal banjir di Bintulu.
“Satu jawatankuasa teknikal banjir Bintulu telah ditubuhkan berikutan kejadian banjir di bandar itu pada 2013 dan 2014,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai masalah banjir di bandar Bintulu di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini. Menurutnya, jawatakuasa itu dipengerusikan Residen Bintulu dan dianggotai oleh beberapa agensi kerajaan.
Agensi terlibat adalah Pejabat Daerah Bintulu, BDA, DID Bintulu, Jabatan Kerja Raya Bintulu, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, NREB, Lembaga Air Kawasan Utara dan Universiti Putra Malaysia, Bintulu, jelasnya. Chok berkata, banjir yang berlaku di Bintulu dikenal pasti berpunca daripada kesan pembangunan pesat di kawasan tadahan Sungai Sebiu dan kawasan tadahan Asyakirin.
“Selain itu, pertambahan keladak dan mendapan dalam parit dan sungai juga mengurangkan kapasiti saliran dan sungai hingga menyebabkan banjir,” ujarnya. Oleh itu, katanya pada 2014, dua projek dilaksanakan dengan peruntukan RM500,000 daripada NRE bagi tujuan kerja pembersihan di Sungai Sibiu, Sungai Teruds dan Sungai Sebatang. Chok memberitahu, kerja- kerja berkenaan dilaksanakan untuk membersihkan sungai- sungai tersebut agar mengalir lebih cepat, lancar dan seterusnya mengurangkan banjir.
“Manakala pada tahun ini, tiga projek sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM2 juta juga daripada NREB,” jelasnya Menurutnya, projek tersebut adalah kerja pembersihan Sungai Sibiu fasa kedua, cadangan membina terusan lencongan di Sample Park dan Sungai Sibiu serta baik pulih kolam di UPM.-Utusan Sarawak
Post a Comment