KUCHING, Isnin - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem mendedahkan sebanyak lapan perkara telah dikenal pasti mula dirundingkan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat bagi membolehkan lebih banyak kuasa autonomi mengenainya diberikan kepada negeri ini. Beliau berkata ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara prinsipnya bersetuju memberikan lebih kuasa dan autonomi kepada Sarawak baharu-baharu ini dan mahu butiran terbabit mula dibincangkan antara Kerajaan Negeri dan pusat.
"Bagi permulaanya antara perkara yang saya akan usahakan bersama Kerajan Pusat bagi dipisahkan dari pusat merangkumi kuasa berkaitan pendakwaan kesalahan jenayah akan dibawah undang-undang negeri ini, pentadbiran sukan dibawah negeri ini, persekitaran termasuk berkaitan bahan buangan dan pengeluaran lesen dan permitnya, hal kewangan termasuk berkaitan yuran dan pelesenan bagi perkhidmatan serta kajian semula geran khas bagi negeri ini dibawah Artikel 112D," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMK- 11 (2016-2020) Negeri Sarawak pada Persidangan Sehari Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ketujuh Belas di DUN, Petra Jaya di sini, hari ini.
Adenan berkata perkara lain ialah berkaitan perkapalan termasuk lampu dan boya serta bangkai kapal dan penyelamatannya, kerja raya di negeri ini bagi tujuan pusat, pendidikan dijadikan lebih menjurus kepada keperluan negeri ini dan hal lain iaitu berkaitan kesihatan, kebajikan, pelancongan, perikanan, warisan dan perumahan.
Beliau berkata kuasa mengenai perkara terbabit perlu lebih banyak diserahkan kepada Kerajaan Negeri kerana ketika ini ada jabatan atau agensi kerajaan dibawah kawalan peringkat pusat dan dibawah kawalan negeri tetapi melaksanakan tugas sama seperti Jabatan Kerja Raya (JKR). "Kenapa perlu ada dua (JKR) bagi melaksanakan projek pembangunan di Sarawak? JKR kita (JKR Sarawak) sudah cukup cekap, kenapa perlu dikawal dari Kuala Lumpur sedangkan pelaksanaan projek mereka di sini," katanya.
Adenan berkata dari segi pendidikan juga begitu dan merasa amat bangga yang ramai penduduk negeri ini dapat bertutur Bahasa Inggeris dengan lebih baik berbanding penduduk Semenanjung dan hanya sekarang Kerajaan Pusat menyedari perkara terbabit. "Hanya sekarang mereka (Kerajaan Pusat) mula menyedari hal terbabit selepas berulang kali bertukar-tukar mengenai kepentingan Bahasa Inggeris, sedang mereka boleh mempromosikan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia pada masa yang sama," katanya.
Beliau masih ingat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahunya yang bekas Ketua Menteri Sarawak,Tun Abdul Rahman Ya’kub adalah individu yang bijak kerana ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 60an menegaskan penekanaan Bahasa Inggeris terus dikekalkan di Sarawak. "Beliau (Tun Abdul Rahman) mahu Bahasa Malaysia ditekankan pengunaannya di Semenanjung tetapi Bahasa Inggeris terus dikekalkan bagi Sarawak dan hasilnya amat positif bagi Sarawak, sekarang mereka (Kerajaan Pusat) mahu mengikut jejak langkah kita, baguslah," katanya.
Adenan berkata bagi melancarkan rundingan semua perkara terbabit diperingkat negeri, satu jawatankuasa berkaitan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri telah ditubuhkan merangkumi empat jawatankuasa kecil mengenai hak perlembangaan, kewangan, pembiayaian, hal pentadbiran dan perancangan pembangunan dan pelaksanaanya.-Utusan Sarawak
Post a Comment