KUCHING, Isnin - Rundingan kerajaan negeri dengan Petronas sedang mencapai kemajuan walaupun harga minyak mengalami kejatuhan dan memberikan kesan kepada pendapatan syarikat minyak terbabit. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem berkata demikian dan mendedahkan pihaknya mencapai kemajuan dalam lima perkara utama dalam perundingan terbabit termasuk pembekalan gas asli kepada Sarawak Energy Berhad (SEB).
"Petronas bersetuju membekalkan kepada SEB sebanyak 250 juta standard cubic feet per day (mmscfd) bekalan gas asli bagi tujuan penjanaan tenaga selama 20 tahun pada harga RM15 per million British Thermal Unit (mmBtu). Harga terbabit lebih rendah berbanding harga pasaran gas asli sekiranya dijual ke pasaran antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMK- 11 (2016-2020) Negeri Sarawak pada Persidangan Sehari Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ketujuh Belas di DUN, Petra Jaya di sini, hari ini. Adenan berkata PETRONAS juga bersetuju membekalkan sebanyak 200 juta standard cubic feet per day (mmscfd) gas asli kepada sektor bukan tenaga negeri ini yang penting bagi menuju ke arah perindustrian terutama pembangunan Koridor Tenaga Diperbahrui Sarawak (SCORE).
"Ini akan membolehkan Sarawak membangunkan Bintulu sebagai hub petrokimia di negara ini berikutan ini akan menarik lebih banyak industri petrokimia melabur di Kidurong dan Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu," katanya. Petronas juga sudah meningkatkan nilai perbelanjaan kontrak diberikan kepada syarikat Sarawak dari RM2.1 bilion pada 2013 kepada RM2.4 bilion pada 2014 yang meningkat sebanyak RM0.3 bilion dari garis dasar nilai kontrak itu itu kepada Sarawak sebanyak RM2.1 bilion.
"Bagi suku pertama 2015, Petronas juga sudah membelanjakan sebanyak RM350 juta bagi tujuan sama. Petronas akan berterusan bagi menambah baik dan meningkatkan nilai kontraknya yang diberikan kepada syarikat Sarawak," katanya. Beliau berkata bilangan syarikat berlesen dan berdaftar dengan Petronas juga meningkat dari 314 pada 2013 kepada 369 pada 2014 dan penubuhan Jawatankuasa Minyak dan Gas Sarawak diluluskan kerajaan akan mengawasi kemajuan industri minyak dan gas negeri ini.
Dalam pembangunan sumber manusia, pendidikan dan latihan teknikal di negeri ini, Petronas pada 2015 akan membelanjakan sekitar RM180 juta bagi pembangunan modal dan penajaan pendidikan manakala dalam Tanggungjawab Sosial Koperat (CSR), Petronas memperuntukan sebanyak RM50 juta bagi tempoh 2015 sehingga 2019. Kerajaan negeri juga sedang aktif dalam rundingan terakhir dengan Petronas mengenai butiran Perjanjian Pemegang Saham terhadap 10 peratus ekuiti dalam MLNG Plant Train 9 dan bekerjasama mendapatkan lebihbanyak ekuiti dalam MLNG 2.
"Saya mengakui ketika ini tidak ada kemajuan dalam rundingan meningkatkan kadar loyati minyak negeri ini, tetapi saya diberi jaminan dari Perdana Menteri apabila ekonomi bertambah baik dan pendapatan (Petronas) meningkat mereka akan menimbangkan permintaan itu," katanya.
Ini kerana ketika ini Petronas terjejas akibat kejatuhan harga minyak, namun beliau menegaskan kepada Perdana Menteri tidak akan berhenti meminta kenaikan kadar loyalti minyak terbabit serta meminta pembangkang tidak masuk campur dalam hal itu. "Memang pembangkang tidak gembira, tetapi saya mahu bertanya, kalau kamu (pembangkang) yang melakukan rundingan ini dengan Kerajaan Pusat, kamu fikir mampukan kamu dapat berjaya sampai ke pintu (masuk ke bilik rundingan Kerajaan Pusat)," katanya.
Adenan berkata pembangkang mesti ingat Kerajaan Pusat ialah Barisan Nasional (BN) dan mereka hanya akan merosakkan rundingan terbabit kerana tidak siapa boleh melakukan rundingan itu kecuali Kerajaan Negeri. Beliau tidak bersetuju cadangan pembangkang supaya mengunakan kelebihannya ramai ahli Parlimen negeri ini bagi menekan Perdana Menteri memberikan kenaikan itu dan sekiranya tidak mereka beramai- ramai meninggalkan BN, kerana berkonfrantasi bukan cara Kerajaan Negeri berunding.-Utusan Sarawak
Post a Comment