KUCHING– Langkah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem membincangkan lebih banyak kuasa diberikan Kerajaan Pusat kepada negeri ini dari segi perumahan dan kebajikan mendapat reaksi positif dari menteri kabinet negeri menguruskan hal perumahan dan kebajikan. Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana negeri ini memang perlu diberikan lebih kuasa melaksanakan projek berkaitan perumahan rakyat yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) termasuk yang peruntukan kewangannya dari Kerajaan Pusat.
"Pelaksanaan projek terbabit juga perlu dilakukan agensi negeri ini iaitu Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan agensi lain dibawah Kementerian Perumahan Sarawak kerana setiap projek perumahan adalah di bawah undang-undang perumahan negeri ini dan juga Unit Perancangan Negeri sebagai pihak berkuasanya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ketua Menteri membentangkan RMK-11 (2016-2020) Negeri Sarawak pada Persidangan Sehari Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ketujuh Belas di DUN, Petra Jaya di sini, hari ini.
Abang Johari berkata disebabkan pihak berkuasa terbabit tiada dibawah kawalan Kerajaan Pusat, hanya satu sahaja keadah paling praktikal bagi projek perumahan rakyat lebih giat dilaksanakan di negeri ini iaitu dengan menyerahkan bidang kuasa perumahan kepada Kerajaan Negeri. Beliau yakin sekiranya itu dilakukan Kerajaan Pusat, dalam tempoh lima tahun lagi berkemungkinan kerajaan akan dapat menyediakan penduduk negeri ini dengan lebih banyak rumah mampu dimilii mereka dan mencapai sasaran setinggan sifar menjelang tahun 2020.
"Kita perlu menukar pendekatan sekarang, malahan ketika ini saya sudah mengarahkan satu kajian perumahan dilakukan bagi membawa peralihan baharu dalam polisi kita yang akan diumumkan selepas ianya diluluskan kabinet negeri," katanya.
Perubahan polisi perumahan itu nanti dijangka akan membolehkan Kerajaan Negeri memenuhi keperluan semua sektor masyarakat dalam ekonomi samada golongan miskin, pendapatan sederhana dan juga mereka yang mempunyai pendapatan dari RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Selain itu, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meminta kerajaan pusat memasukkan juga pengangkutan awam sebagai komponen utama bagi membangunkan kawasan bandar negeri ini yang semakin ramai penduduknya.
"Ini kerana sebanyak 51 peratus populasi penduduk negeri ini sedang menetap di kawasan bandar manakala 49 peratus menetap di luar bandar dan juga terdapat kumpulan kecil kemiskinan bandar dan kita mesti juga mengambil kira perkara ini," katanya. Beliau yakin sekiranya sistem pengangkutan awam dan banyak kemudahan lain di kawasan bandar ditambah baik ini dalam RMK-11, ini akan memberikan kesan kepada ekonomi di bandar dan seterusnya juga menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata pihaknya juga mengalukan lebih banyak kuasa dari segi kebajikan dibincangkan bagi diberikan kerajaan pusat kepada negeri ini. "Ini kerana ketika ini kos sara hidup penduduk negeri ini lebih tinggi dari penduduk Semenanjung dan Kerajaan Negeri boleh terbabit membantu penerima bantuan kebajikan bulanan dari kerajaan pusat dengan menambah bayaran bantuan itu dan ini akan diumumkan Oktober depan," katanya.
Fatimah berkata sebelum ini kerajaan pusat hanya ada menaikkan bayaran skim bantuan itu bagi golongan kelainan upaya (OKU) dan belum ada kenaikan sama diberikan kepada penerima bantuan itu yang lain di negeri ini. "Lihatlah betapa perihatinnya beliau (Ketua Menteri) dan telah memaklumkan yang kita perlu melakukan sesuatu terhadap itu (kenaikan kos sara hidup penduduk negeri ini), kalau kita dapat menambah (bayaran bantuan kebajikan bulanan), kita akan tambah," katanya.-Utusan Sarawak
Post a Comment