SEREMBAN: Spin terbaru UMNO tentang wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak kononnya datang dari Arab Saudi sebagai tanda terima kasih kepada Malaysia kerana melawan Islamic State (IS) adalah satu kenyataan yang paling tidak munasabah dan melampau.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata media massa telah melaporkan Ketua UMNO Bahagian Kuantan Wan Adnan Wan Mamat sebagai berkata demikian.
Katanya, kenyataan itu tidak masuk akal kerana kerajaan Malaysia bersuara melawan IS hanya selepas pertengahan tahun 2014 sedangkan wang RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun Najib pada Mac 2013.
Menurutnya, pada Jun 2014, Najib telah memuji IS, malah meminta ahli-ahli UMNO meniru perjuangan IS (sedangkan IS adalah musuh kepada Arab Saudi).
Dalam ucapan Najib di majlis makan malam UMNO Bahagian Cheras pada 24 Jun, 2014, Presiden UMNO itu dipetik sebagai berkata:
“…apabila seseorang berani sehingga mati, mereka dapat mengalahkan pasukan yang lebih besar. Sebagai bukti – sama ada kita bersetuju atau tidak adalah perkara lain – kumpulan ISIL (atau ISIS) dengan kekuatan hanya 1,300 orang, boleh mengalahkan 30,000 tentera Iraq, sehingga empat, lima jeneral dengan pangkat tiga, empat bintang bertempiaran lari menyelamatkan diri, melompat keluar dari tingkap pada waktu malam. Mengapa? Kerana mereka takut kepada orang-orang yang berani”.
Menurut Kit Siang, seminggu selepas ucapan Najib itu, ISIL mengiystiharkan pembentukan khalifah dan menukar namanya kepada IS.
Katanya, walaupun Najib kemudian cuba memperbetulkan kenyataannya yang memuji IS yang kejam dan zalim itu, telah terbukti Perdana Menteri adalah satu-satunya ketua kerajaan dunia yang secara terang-terangan membela keganasan IS/ISIL/ISIS.
“Dengan sejarah dan latar belakang sedemikian, siapa yang akan percaya wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib pada Mac 2013 itu adalah tanda terima kasih Saudi kepada Malaysia dalam melawan IS?” katanya berucap di ceramah perdana di Taman AST di sini malam tadi.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Najib sudah hilang hak moral untuk bercakap tentang sumbangan politik atau cadangannya mengenai penubuhan majlis perundingan dana politik selagi beliau terus berdolak-dalik tentang wang RM2.6 bilion itu.
Beliau berkata, biasanya orang jika sekali berbohong, perlu sepuluh kali lagi berbohong untuk menutup bohong yang asal.
“Inilah yang berlaku hampir setiap hari kerana mahu menutup bohong demi bohong tentang skandal kembar RM42 bilion 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib sejurus sebelum pilihanraya umum ke-13 yang lalu,” ujar beliau.
Katanya, hanya satu jalan sahaja untuk Najib memulihkan kembali hak moralnya dalam soal ketelusan, integriti dan pentadbiran baik, iaitu memberi penjelasan penuh dan memuaskan hati tentang kedua-dua skandal tersebut, tanpa spin atau pembohongan. – Roketkini.com
Post a Comment