Sikap terbuka Adenan terserlah



SARIKEI, Isnin – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11) Sarawak menyerlahkan lagi kesungguhan dan keikhlasan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam usaha membela nasib rakyat dan membangunkan kawasan luar bandar. Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol (gambar) berkata, ketua menteri tidak berselindung dalam soal berkenaan dan sikap terbuka itu terserlah dalam ucapan pembentangan beliau pada Persidangan Khas DUN Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Tan Sri Adenan cukup tegas menyatakan 50 peratus peruntukan negeri akan digunakan untuk memberi manfaat secara langsung atau sebaliknya kepada rakyat di pedalaman. “Denyut nadi rakyat begitu jelas dalam ucapan beliau. Oleh kerana itulah ketua menteri memperkenalkan Pelan Transformasi Desa (RTP). Ini bertujuan memastikan jurang keselesaan antara warga desa dan bandar dirapatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, ketua menteri turut mencadangkan supaya pelbagai bentuk bantuan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan miskin dikaji semula. Ujarnya, ketua menteri juga cukup lantang menyuarakan tentang kebajikan nelayan berikutan isu pencerobohan nelayan asing.

“Kehadiran nelayan asing yang menceroboh, mencuri hasil laut malah tidak menjualnya di pasaran kita merugi dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” ujarnya. Malah katanya, Tan Sri Adenan turut berhasrat membangunkan sektor pertanian dengan mewujudkan kawasan ‘food busket’ bagi menjamin sumber pendapatan petani tempatan.

“Beliau (ketua menteri) juga menyuarakan dengan tegas betapa pentingnya perundingan dengan kerajaan persekutuan tentang bidangkuasa autonomi pentadbiran di mana beberapa perkara perlu diuruskan sepenuhnya oleh kita tanpa perlu melalui proses birokrasi yang mungkin melambatkan pembangunan negeri yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan. 

“Tan Sri Adenan juga mahu agensi penguatkuasaan menerapkan nilai intergriti yang tinggi dan bersedia bekerjasama dengan pihak MACC bagi memastikan tidak wujud unsur rasuah. 

“Pembentangan ketua menteri menyerlahkan bahawa dalam jiwa beliau teguhnya seorang anak Sarawak dan dalam hati beliau sentiasa memikirkan tentang rakyat,” jelasnya.-Utusan Sarawak

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget