Kuasa Adenan masih terhad, kata Baru Bian



SIBU: Pengerusi PKR Sarawak, YB Baru Bian menyatakan bahawa beliau menyokong Adenan Satem tetapi kuasa Ketua Menteri Sarawak itu terhad kerana masih terikat dengan parti dan Kerajaan Barisan Nasional.

"Hanya dengan menyokong PKR menumbangkan kerajaan sedia ada, hak rakyat Sarawak akan benar-benar dibela", kata Baru Bian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran '18 Roadmap' PKR semalam di sini.

Tambah beliau lagi, "Saya menyeru agar rakyat Sarawak membaca dan memahami '18 Point Roadmap' dan bersama PKR dalam misi untuk menghantar mesej kepada kerajaan bahawa mereka telah gagal mentadbir negara".

ADUN Ba'kalalan itu turut mengaitkan isu nasional dengan menyatakan bahawa pada PRU 2008 yang lepas memperlihatkan dan menyedarkan perubahan boleh berlaku terhadap landskap politik negara.

"Tsunami politik tersebut turut diharapkan berlaku di Sarawak dimana PKR dan pakatan pembangkang telah memberi perhatian khusus dalam membantu rakyat Sabah dan Sarawak berbanding yang diberikan kerajaan Barisan Nasional," ujar beliau yang turut menjelaskan tujuan utama pelancaran '18 point Roadmap' oleh PKR Sarawak.

"Ini adalah untuk memberi gambaran jelas tentang isu-isu kelemahan pihak kerajaan seperti isu pendidikan, kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi, sistem jalan raya dan sekaligus menjadikan Sarawak sebagai negara termiskin selama 52 tahun", tegas Baru Bian.

Sebelum itu, Vernon Kedit, Ketua Penerangan PKR Sarawak memberi penjelasan penuh berkenaan '18 Point Roadmap' kepada semua pimpinan serta ahli PKR sekaligus menerangkan berkenaan laman sesawang PKR Sarawak yang baru.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB See Chee How, YB Ali Biju, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Angkeh, Abdul Raafidin selaku Ketua AMK Sarawak, George Chen PKR Kanowit, Nurhanim Mokhsen selaku exco Wanita Nasional dan ahli-ahli PKR Sarawak.- SarawakLIVE

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget