KUCHING: Dalam membuktikan beliau bukan seorang pemimpin yang cuma berjuang demi Melayu dan Islam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan memberi layanan adil kepada semua kaum dan agama di negara ini.
“Saya bukan ultra Melayu. Sebagai pemimpin Malaysia saya perlu adil terhadap semua,” katanya pada sesi temu bual khas bersama akhbar kumpulan See Hua merangkumi Utusan Borneo, The Borneo Post, See Hua Daily News dan Oriental Daily sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Beliau menegaskan, perjuangan beliau terhadap Islam dan Melayu tidak wajar disalah tafsir.
“Berjuang untuk Islam dan Melayu adalah satu prinsipal pemikiran yang perlu saya ada. Tetapi saya tidak abaikan agama dan kaum lain,” ujarnya.
Malah, Ahmad Zahid mendedahkan beliau pada zaman mudanya mempunyai bapa angkat Cina, dan sehingga kini hubungan mereka masih terjalin.
“Adakah itu menunjukkan saya anti-Cina?” katanya.
Mengenai dakwaan mengatakan beliau adalah orang Indonesia, beliau berkata datuk dan neneknya memang dilahirkan di negara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, migrasi dalam kalangan penduduk di Nusantara pada ketika itu agak bebas kerana tidak memerlukan dokumen perjalanan.
Justeru, beliau meminta pihak yang memanipulasikan isu asal usulnya agar berhenti berbuat demikian.
“Di situ bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi jaminan kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk menghapuskan sekolah vernakular, malah ia tidak pernah dibincangkan dalam kabinet.
Dengan jaminan itu, masyarakat Cina tidak perlu gusar dengan dakwaan yang menyatakan kerajaan akan menghapuskan sekolah Cina.
Menurutnya, sistem sekolah kebangsaan diwujudkan sebagai satu medium untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.
“Kita wajar memberi penekanan terhadap usaha dalam menyatupadukan warga Malaysia. Kita perlu sedar bahawa kita adalah rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata beliau masih menghormati bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya hormat dia sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya hormat dia sebagai seorang pemimpin dalam BN. Usaha dia selama ini perlu dihargai kita semua,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment