Jadikan Sarawak pusat perubatan popular



KUCHING: Komuniti perubatan digalak untuk meningkatkan standard profesion dan pencapaian dalam bidang berkenaan yang dilihat berpotensi menarik ramai warga asing mendapatkan rawatan di negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kini trend warga asing mendapatkan rawatan khasnya hospital swasta semakin meningkat terutama dari negara jiran seperti Indonesia.

“Melalui kemudahan perkhidmatan kesihatan yang semakin bertambah di Sarawak khasnya di Kuching, ia akan menyediakan peluang dalam bidang berkenaan yang sekali gus menyaksikan komuniti perubatan mempunyai tanggungjawab besar dalam industri perubatan.

“Ia termasuk keperluan rakyat kita untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik dan saya berasakan sudah tiba masanya komuniti perubatan menentukan standard bagi memastikan kita sebagai pusat perubatan popular,” katanya.

Tambah Tun Taib, ia dibuktikan bukan sahaja masyarakat negeri ini sendiri tetapi trend kedatangan warga asing dari negara jiran yang datang mendapatkan rawatan di hospital swasta di Sarawak.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah KPJ Kuching Specialist Hospital yang dihadiri Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Presiden merankap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar di sini, semalam.

Mengenai pembinaan Kuching Specialist Hospital yang baharu itu Tun Taib berkata ia menunjukkan inisiatif sihat daripada KPJ Healthcare bagi memenuhi keperluan di bandar raya Kuching yang semakin meningkat populasinya yang mendapat perkhidmatan kesihatan daripada pihak swasta.

“Trend ini semakin bertambah pada masa akan datang di mana kita akan menyaksikan lebih banyak kemudahan perubatan baharu berkembang di Kuching dalam usaha memenuhi keperluan populasi.

“Selain itu ia juga menunjukkan kesedaran masyarakat kita bahawa mereka cuba mendapatkan rawatan mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Sementara itu Adenan dalam teks ucapannya yang dibacakan Dr Jerip menjelaskan, dengan prasarana baharu yang dibangunkan itu, ia akan membawa kepada peningkatan kualiti perkhidmatan prihatin oleh kumpulan pakar kesihatan, doktor, jururawat dan pengurusan KPJ Kuching Specialist Hospital kepada semua.

“KPJ Kuching sejak penubuhannya telah mempraktikkan bidang Pelancongan Kesihatan apabila aktiviti pemasaran serta promosi giat dijalankan di negara luar terutama negara jiran Indonesia dan Brunei.

“Dengan terbinanya bangunan hospital baharu ini nanti, maka kita berharap KPJ Kuching dapat menarik lebih ramai pesakit atau pelawat antarabangsa demi merancakkan lagi sektor ekonomi negeri,” katanya.

Tambah Adenan, kemudahan baharu itu turut menyediakan peluang pekerjaan dan berharap peluang berkenaan ditawarkan kepada anak-anak tempatan untuk berkhidmat dalam industri perubatan tempatan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget