Isytihar dana politik wajar

Bagi mengelak pelbagai spekulasi, tuduhan – Ismail Sabri



TANJUNG MALIM - Cadangan mewujudkan peraturan bagi semua parti politik mengisytiharkan sumber dana politik yang diterima adalah wajar bagi mengelakkan daripada timbulnya pelbagai spekulasi dan tuduhan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendedahan itu membolehkan masyarakat mengetahui daripada sumber mana setiap parti politik memperoleh dana berkenaan.

“Sebenarnya kita telah membangkitkan isu ini sejak dahulu lagi. Walau bagaimanapun apabila dicadangkan yang tidak setuju adalah pembangkang. Dalam Parlimen pun mereka cakap tidak setuju kalau diisytiharkan dana tersebut.

“Kita tidak tahu mengapa mereka tidak setuju. Jika dilihat cara mereka menjalankan kempen pada pilihan raya begitu hebat dan per­belanjaan yang digunakan juga besar. Kita tidak tahu dari mana mereka mendapat duit tersebut.

“Namun pada hari ini apabila UMNO melalui Perdana Menteri mendapat dana mereka mempertikaikan. Jadi untuk mengelakkan dari segi kesalahan, spekulasi dan tuduhan bukan-bukan, saya setuju kalau semua parti yang bertanding mengisytiharkan dari mana mereka peroleh dana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Malim 2015 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Felda Trolak di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib dan Ketua Wanitanya, Datuk Rusnah Kassim.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pendedahan itu juga bagi mengenal pasti sumber dana yang diterima terutama dari negara-negara tertentu.

Sementara itu di ALOR SETAR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani ketika menghadiri Jamuan Aidilfitri UMNO Bahagian Pokok Sena berkata, pengenalan peraturan tersebut membolehkan wujudnya ketelusan mengenai bagaimana sesebuah parti politik memperoleh dana politik masing-masing.

Beliau berkata, sekiranya semua pihak bersetuju berbuat demikian maka semua parti perlu mengisytiharkan senarai sumber dana politik yang diterima mereka.

“Ini merupakan cadangan yang bagus, jadi semua orang tahu daripada mereka dapat duit. Bukan UMNO sahaja, semua parti politik kena beritahu. Kalau Pas dapat duit kena tahu daripada siapa, kalau UMNO dapat kena tahu daripada siapa. DAP kalau dapat kena tahu daripada siapa, PKR kalau dapat kena tahu daripada siapa,” katanya.

Menurutnya, cadangan ber­kenaan perlu diberi sokongan oleh semua pihak.

Mengenai tindakan sesetengah bahagian UMNO membatalkan jemputan ke atas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan mesyuarat perwakilan, beliau berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget