Antara hak-hak orang peribumi di Sarawak adalah yang berkaitan tanah NCR, kata Thomas
MOHON BERKAT: Upacara ‘miring’ diadakan bagi memohon berkat kelancaran perayaan mengikut kepercayaan Iban. |
KUCHING: Jaringan Orang Asli Se-Malaysia (JOAS) akan menghantar surat kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan pengiktirafan bagi hak-hak setiap kumpulan peribumi di Sarawak.
Presidennya Thomas Jalong berkata antara hak-hak orang peribumi di Sarawak adalah yang berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Kami harap kerajaan akan memberi perhatian yang lebih kepada masyarakat asli dengan lebih sensitif kepada keadaan mereka dan membuat pindaan terhadap polisi semasa atau undang-undang berkaitan NCR,” kata Thomas.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Hari Orang Asli Sedunia Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini kelmarin.
Tambah Thomas, hak-hak orang peribumi Sarawak juga harus dihormati oleh setiap individu dan dipertahankan oleh kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menyediakan komuniti ini dengan bantuan kewangan bagi mempromosikan kekayaan budaya dan tradisi mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Thomas memberitahu bahawa sentimen kumpulan peribumi telah disuarakan pada seminar ‘Indigenous Territories’ yang dihadiri kumpulan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia pada 8 Ogos di tempat yang sama.
Perayaan Hari Orang Asli telah dilancarkan oleh ahli pakar polisi sosial kanan UNICEF Malaysia Victor Karunan bersama Thomas dan ahli-ahli daripada Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) sebagai tuan rumah tahun ini.
- Borneo Post Online
Post a Comment