Dr Annuar calon DUN Nangka pilihan raya Sarawak ke-11


SIBU: Dr Annuar Rapa'ee akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49, Nangka atas tiket Barisan Nasional (BN) untuk penggal kedua pada pilihan raya negeri ke-11 yang diadakan selewat-lewatnya Jun tahun depan.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem merangkap Pengerusi BN Sarawak membuat pengumuman ringkas mengenai perkara itu pada majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bahagian Sibu 2015 di sini malam tadi.
"Tadi saya lupa nak beritahu, calon Barisan Nasional untuk kawasan Nangka ialah Annuar," kata Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ketika berucap pada majlis itu.
Kerusi N49 Nangka adalah satu-satunya kerusi majoriti Bumiputera di bandar Sibu yang diwakili wakil rakyat PBB.
Dr Annuar, 52 tahun, seorang pakar kardiologi memenangi kerusi itu untuk kali pertama pada pilihan raya negeri ke-10 selepas menewaskan Norisham Mohamed Ali (PKR) dengan majoriti 5,302 undi.
Terdahulu Dr Annuar dalam ucapannya meminta masyarakat di Sibu supaya memberi sokongan yang padu kepada calon-calon BN menjelang pilihan raya akan datang supaya boleh mencapai kemenangan besar.
"Saya berani memberi jaminan bahawa masyarakat di kawasan DUN N49 Nangka akan memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada BN," tegasnya.
"Dengan adanya kemenangan besar ini, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sudah tentu akan menyalurkan peruntukan pembangunan yang lebih banyak lagi ke kawasan kita ini bagi tempoh lima tahun lagi," katanya.
Beliau memberitahu, sepanjang lebih empat tahun menjadi wakil rakyat DUN Nangka, tiga perkara yang menjadi tumpuan iaitu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam, pendidikan dan ekonomi penduduk telah berjaya diletakkan di landasan betul.
"Dalam tempoh ini kami sudah berjaya menurap jalan di 33 rumah panjang dan pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM7 juta untuk menurap semua jalan di kampung-kampung dalam kawasan DUN N49 Nangka," jelasnya. - BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget