SHAH ALAM - Malaysia berpeluang mengurangkan jurang pembangunan dalam mencapai matlamatnya untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi selepas menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno (BEPU) Azlan Abdullah berkata, hasil kajian yang telah dilakukan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menerusi model CGE telah menunjukkan bahawa sekiranya dilaksanakan dengan betul, Malaysia berupaya untuk menjadi salah satu penerima manfaat utama kepada perjanjian perdagangan ini.
“Pendirian ini adalah berteraskan kepercayaan bahawa perjanjian perdagangan tersebut adalah suatu langkah yang diperlukan bagi menjamin pemerkasaan ekonomi Malaysia sekaligus mendekatkan negara ke arah mencapai status negara maju,”katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, hasil kajian yang telah dilakukan oleh PwC menerusi model CGE telah menunjukkan bahawa sekiranya dilaksanakan dengan betul, Malaysia berupaya untuk menjadi salah satu penerima manfaat utama kepada perjanjian perdagangan ini.
“Dua juta peluang pekerjaan bakal wujud menjelang tahun 2027 melalui pelaburan asing secara langsung.
“Selain itu ia dapat meluaskan akses pasaran berorientasikan eksport Malaysia seperti dalam sektor tekstil, komponen automotif dan sektor elektrik dan elektronik,”katanya.
Menurut Azlan, Pemuda berharap Kementerian perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat meneruskan sesi penerangan menerusi ‘road show’ untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap pelbagai aspek TPP yang turut melibatkan perubahan kepada perundangan yang diperlukan kepada perkongsian dagangan itu
“Perlu juga diadakan bengkel kepada industrI kecil dan sederhana (IKS) melibatkan keseluruhan sektor untuk memastikan persediaan yang secukupnya bagi perlaksanaan TPP
Azlan berkata, bantuan kewangan kepada IKS, seperti Business Accelerator Program (BAP) dan Young Entrepreneur Fund (YEF), bagi memastikan kesediaan IKS Bumiputera untuk mengambil manfaat sepenuhnya terhadap akses pasaran yang semakin meluas sejurus selepas TPP direalisasikan pada tahun 2018.
- Sinar Online

Post a Comment