KUALA LUMPUR: Sejak era reformasi 1998 sehingga kini, penyokong bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerap memutar belit fakta berkaitan isu sebenar demi kepentingan peribadi.
Bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan berkata, beliau juga antara mangsa 'puak' Anwar ekoran kes liwat berkaitan dirinya dan bekas majikan beliau turut diputar belit.
"Namun, hari demi hari, saya lihat mereka ini semakin keterlaluan. Mereka bebas mengelirukan dan melakukan penipuan terhadap fakta kes saya. Antara penipuan dan spin yang mereka lakukan adalah seperti ‘tuduhan palsu’, ‘tahanan politik’, perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, cubaan pembangkang untuk membebaskan Anwar diatas dasar 'human right' sekaligus melepas pandang hak Saiful sebagai pengadu dalam kes ini.
"Saya juga ambil maklum bahawa rata-rata mereka ini memberi tekanan dari sudut human rights. Namun bagaimana pula dengan saya? Saya adalah pengadu dan mangsa dalam kes ini. Adakah saya ini bukan manusia sehingga dinafikan hak sebagai mangsa secara total oleh badan-badan human rights?
"Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik. Manusia akan membela individu yang berkepentingan kepada mereka, berkuasa, berpengaruh, berduit kaya raya dan bukannya orang kecil seperti saya ini, tidak kaya, tiada kuasa, tidak ada kepentingan. Adakah ini yang ingin dibudayakan?," ujarnya.
Jelasnya lagi, Anwar jelas merupakan pesalah jenayah yang diadili oleh sistem kehakiman negara dibawah sembilan hakim mahkamah.
"Beliau telah didakwa atas kesalahan jenayah, dibicara dan diadili oleh sejumlah sembilan orang hakim (Mahkamah Tinggi (1), Mahkamah Rayuan (3) , Mahkamah Persekutuan (5), di mana perbicaraan telah mengambil masa yang lama, lebih kurang tujuh tahun," katanya.
Ujarnya lagi, beliau hanya mahukan keadilan sepertimana pengadu-pengadu lain yang membuat laporan polis.
"Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, setahun sudah berlalu. Semoga sihat dan tenang di sana. Gunakanlah tempoh muhasabah ini sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah SWT itu maha pengampun bagi hambanya yang benar-benar insaf. Sebagai bekas majikan, saya doakan yang terbaik.
"Terus ke hadapan, istiqamah dan sabar," katanya lagi.
-Malaysian Digest

Post a Comment